Suspek larikan barang kemas Kieda didakwa dalam masa terdekat - polis

Suspek larikan barang kemas Kieda didakwa dalam masa terdekat – polis

HAMZAH Ahmad (tengah) dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Empat sekawan yang ditahan kerana dipercayai telah memecah masuk rumah dan melarikan barang kemas milik pempengaruh yang juga usahawan, Kieda Crepe di Kepala Batas akan didakwa di mahkamah dalam tempoh terdekat.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, ketika ini, siasatan kes berkenaan telah pun dilengkapkan dan ia dalam proses untuk pengadilan di mahkamah.

“Siasatan selesai. Kes dalam peringkat untuk dituduh di mahkamah bagi pengadilan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Sebelum ini, Kieda Crepe atau nama sebenarnya Siti Nur Khalieda dan suaminya mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM800,000 selepas peti besi mengandungi barangan kemas milik mereka dilarikan perompak.

Susulan itu, polis menahan empat sekawan selama enam hari bermula 6 Jun lalu bagi membantu siasatan terhadap kes berkenaan.

Penahanan ke atas mereka dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara di hadapan Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, pada 5 Jun lalu.

Suspek yang berasal dari selatan dan Pantai Timur ketika itu baru sahaja selesai menjalani prosiding membabitkan satu kes pecah rumah di ibu negara.

Semasa tangkapan, polis turut merampas sejumlah barang kemas dengan anggaran nilai RM40,000.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, polis juga secara keseluruhannya telah menjumpai barang kemas, emas dan resit pajak yang dicuri daripada rumah usahawan tersebut dengan nilai dianggarkan RM500,000.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kes membabitkan seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja (JKDM) Pulau Pinang yang tertembak ketika menyertai latihan menembak jabatan itu 11 Jun lalu, Hamzah berkata siasatan lanjut kes berkenaan masih dijalankan.

“Polis masih menyiasat kes ini, mangsa masih dirawat di hospital,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×