Keputusan kes saman Rosmah 10 Jun

Keputusan kes saman Rosmah 10 Jun

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keputusan kes saman oleh syarikat barangan kemas Lubnan, Global Royalty Trading SAL terhadap Datin Seri Rosmah Mansor membabitkan barangan kemas berjumlah RM67.4 juta (AS$14.57 juta) ditetapkan pada 10 Jun ini.

Hakim, Quay Chew Soon menetapkan tarikh itu selepas saksi keenam bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan yang dinamakan sebagai pihak ketiga selesai memberi keterangan hari ini.

“Pihak plaintif perlu memfailkan hujahan bertulis pada 13 Mei ini manakala hujahan balas oleh defendan pada 28 Mei ini.

“Mahkamah menetapkan 10 Jun ini bagi keputusan yang akan dibuat secara dalam talian melalui aplikasi zoom,” katanya semasa prosiding di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Perbicaraan saman yang berlangsung selama tiga hari melibatkan seorang saksi plaintif, Samer Hassib Halimeh yang merupakan pengasas syarikat barangan kemas itu, Rosmah selaku defendan tunggal kes itu dan enam saksi mewakili pihak ketiga.

Terdahulu, kontraktor pengubahsuaian dalaman, Chong Tong Leong memberitahu dia melihat beberapa beg besar di dalam sebuah bilik bawah dalam unit kediaman dua tingkat di Pavilion Residences di sini, pada 14 Mei 2018.

Saksi itu menyatakan dia tidak pernah melihat beg tersebut sebelum ini di unit kediaman terbabit.

Katanya, dia dihubungi oleh Nadziff iaitu pemilik unit tersebut yang memintanya untuk membaiki dan mengubahsuai di Unit B-45-2, Pavillion Residence.

“Melihat keadaan tersebut, saya terus keluar daripada unit tersebut dan terus ke tempat parkir kerana bimbang jika ada apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku.

“Saya telah menghubungi Nadziff dan diminta untuk memberhentikan dahulu kerja-kerja pembaikan di unit tersebut,” katanya menerusi pernyataan saksi dalam perbicaraan itu.

Semalam, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh dalam keterangannya memberitahu, pihak polis menemui 71 beg bagasi berisi wang tunai pelbagai jenis matawang dan barang kemas sekotak plastik serta 284 kotak yang mengandungi beg tangan pelbagai jenama di unit sama.

Pada 29 Mac 2023, Global Royalty menyaman Rosmah dan mendakwa wanita itu telah berbohong dengan menyatakan bahawa 43 unit barangan kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh seorang ejen syarikat itu kepadanya telah dirampas pihak polis.

Pada 27 Mac 2025, Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran kepada Rosmah untuk memasukkan kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai pihak ketiga dalam saman tersebut.

Menurut penyata tuntutan oleh syarikat berpangkalan di Beirut itu, ini kerana hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan dan kawalan pihak polis dan baki 43 barang kemas milik plaintif tidak berada dalam simpanan pihak berkuasa.

Global Royalty juga mendakwa Rosmah mengalihkan beban kepada kerajaan Malaysia sedangkan barang kemas itu sebenarnya telah hilang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN