Sultan Nazrin hadiri istiadat penganugerahan pengakap - Utusan Malaysia

Sultan Nazrin hadiri istiadat penganugerahan pengakap

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan Bintang Semangat Rimba Perak kepada Exco Perak, Khairudin Abu Hanipah pada istiadat penganugerahan Persekutuan Pengakap Malaysia di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke majlis istiadat penganugerahan anjuran Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) yang diadakan di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Majlis Istiadat Penganugerahan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja PPM Negeri Perak 2024 itu menyaksikan lebih 200 ahli pergerakan itu menerima anugerah masing-masing.

Pada majlis itu, seramai 222 orang pemimpin pengakap di semua peringkat dikurniakan bintang dan PPM dan negeri Perak termasuk enam orang pemimpin pengakap luar negara dari Filipina, India dan Thailand.

Selain itu, seramai 56 orang ahli pengakap dalam negeri Perak telah lulus dan mendapat pengiktirafan sebagai Pengakap Raja bagi lulusan tahun 2021 dan 2022.

Penganugerahan tersebut berkenan disampaikan oleh Sultan Nazrin dalam majlis itu yang turut dihadiri oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga merupakan Yang Dipertua PPM Perak.

Sementara itu, ketika menyampaikan sembah ucapannya, Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral (B) Datuk Prof. Dr. Mohd. Zin Bidin berkata, pengakap negeri Perak akan berstatus 100 tahun penubuhan pada tahun 2026.

“Pelbagai persiapan sedang dilakukan oleh PPM negeri Perak dalam menuju tahun keramat tersebut,” katanya.

Beliau berkata, dalam usaha mengembangkan potensi dan kemahiran ilmu kepengakapan pemimpin dan ahli-ahli pengakap di negeri Perak, kerajaan negeri menerusi Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri (SADC) Perak telah bersetuju memberi sebidang tanah seluas 10 ekar kepada pergerakan itu.

Jelasnya, pemberian tanah yang terletak di antara Tanjung Tualang dan daerah Perak Tengah itu adalah untuk dijadikan pusat latihan pengakap negeri Perak.

“Bersama kita doakan semoga impian pengakap negeri Perak untuk mempunyai sebuah pusat latihan atau kem pengakap yang moden dengan dilengkapi infrastruktur bersesuaian sebagai sebuah pusat latihan atau akademi pengakap,” katanya.

Tambah beliau, pergerakan pengakap Perak turut mengekalkan status sebagai tiga negeri yang berjaya mendaftarkan ahli untuk tempoh lima tahun berturut-turut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN