PETALING JAYA: Kerajaan akan mempertimbangkan rayuan daripada pelbagai syarikat perkhidmatan termasuk pengusaha trak tunda agar menyenaraikan kenderaan itu di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi membolehkan mereka mendapat kad fleet.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya menerima banyak rayuan daripada pelbagai pihak, termasuk syarikat perkhidmatan trak tunda dan semua rayuan ini sedang dipertimbangkan dengan teliti.
Menurutnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menganalisis justifikasi yang dikemukakan dan sebaik sahaja jawatankuasa rayuan menyelesaikan analisis tersebut, pihaknya akan membentangkannya untuk pertimbangan kabinet.
“Buat masa ini, keputusan belum dibuat kerana prinsip asas yang kami pegang adalah untuk memastikan hanya sektor atau jenis pengangkutan yang terlibat dalam penghantaran barangan dan perkhidmatan penting harian yang layak untuk SKDS ini.
“Fokus utama adalah pada penghantaran barangan penting yang digunakan oleh masyarakat umum namun, seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kami terbuka kepada sebarang rayuan dan akan mempertimbangkannya dengan serius,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Penutupan Shopee Seller Summit 2024 Sunway Resort Hotel, di sini hari ini.
Sebelum ini, KPDN berkata, syor mempertimbangkan beberapa tambahan jenis kenderaan pengangkutan barangan dalam senarai layak menikmati subsidi diesel akan diangkat segera untuk pertimbangan Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Diesel.
Ketika ini, 33 jenis kenderaan pengangkutan awam dan barangan menikmati diesel bersubsidi melalui penggunaan ‘fleet card’ di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Kenderaan logistik berkelayakan akan menggunakan kaedah kad ‘fleet’ bagi membendung kesan terhadap harga barangan pengguna, ditetapkan pada harga RM2.15 seliter.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, terdapat perniagaan yang belum mematuhi peraturan yang ditetapkan, dan ada cadangan untuk meningkatkan penguatkuasaan.
Katanya, KPDN boleh menambah bilangan penguatkuasa atau meningkatkan usaha penguatkuasaan, tetapi lebih mementingkan advokasi kepenggunaan.
“Saya menghargai kerjasama daripada pengguna untuk menyalurkan aduan melalui platform rasmi dengan memberikan maklumat yang tepat kerana ini sangat penting untuk membantu siasatan.
“Saya memberi jaminan bahawa sebaik sahaja aduan dengan maklumat yang lengkap diterima, kami akan membuat siasatan secepat mungkin.
“Penguatkuasa kami di seluruh negara sekarang giat menjalankan tugas dengan agresif kerana ketangkasan penguatkuasaan adalah fokus utama kami pada tahun 2024,” jelasnya.
Selain itu, Armizan berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah dengan aduan yang dibuat melalui media sosial, tetapi jika aduan tersebut disalurkan melalui platform rasmi dengan maklumat yang tepat, ia akan memudahkan siasatan segera.
“Jika aduan diviralkan terlebih dahulu, pelaku mungkin akan cuba menyembunyikan kesalahan mereka. Oleh itu, kami menggalakkan aduan dibuat melalui saluran yang betul,” katanya. – UTUSAN










