KUALA TERENGGANU: Sepasang suami isteri berdepan hukuman gantung setelah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini bagi tuduhan mengedar dadah, minggu lalu.
Tiada pengakuan direkodkan daripada Abdul Maini Abdul Wahab, 38, dan Yusnita Yunus, 39, sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Yuhanis Mohd. Roslan, semalam.
Berdasarkan pertuduhan, Abdul Maini dan Yusnita didakwa secara bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 204.15 gram.
Pasangan yang bekerja sebagai mekanik dan peniaga keropok lekor melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Sentul Patah, Marang, pada pukul 10.15 malam, 30 Mei lalu.
Bagi pertuduhan itu, Abdul Maini dan Yusnita didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, pasangan suami isteri itu boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang 15 sebatan.
Mahkamah kemudian menetapkan 11 September ini sebagai tarikh mendapatkan keputusan laporan kimia manakala kedua-dua tertuduh tidak ditawarkan jaminan.
Prosiding pendengaran dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Othman Ibrahim. – UTUSAN










