PETALING JAYA : Seorang lagi individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terbabit rasuah membabitkan kerja-kerja menyiapkan satu pakej pembinaan projek lebuh raya bernilai lebih RM1 bilion di Lembah Klang.
Penahanan lelaki berusia 40-an itu menjadikan sembilan individu telah ditahan setakat ini selepas lapan termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bersama dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya direman semalam.
Menurut sumber, suspek telah meminta dan menerima rasuah daripada beberapa syarikat sebagai balasan kerana melantik syarikat-syarikat tersebut untuk mengambil alih kerja-kerja menyiapkan lebuh raya berkenaan yang sebelum ini dijalankan oleh syarikat lain.
“Suspek kesembilan ini telah ditahan di Ibu Pejabat SPRM ketika hadir memberi keterangan kira-kira pukul 7 malam semalam.
“Jumlah rasuah membabitkan kesemua suspek masih lagi dalam siasatan, bagaimanapun pembinaan dua projek lebuh raya ini keseluruhannya berjumlah hampir RM11 bilion,” katanya di sini.
Perintah reman selama tiga hari sehingga 28 Jun ini dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.- UTUSAN










