KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan terus memerangi aktiviti penyambungan air haram di kawasan setinggan bagi memastikan bekalan air di sekitar pusat bandar raya ini kembali stabil.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya berkata, tindakan penguatkuasaan akan terus dilakukan di kawasan-kawasan setinggan agar aktiviti sambungan paip secara haram dapat ditangani secara menyeluruh.
Beliau berkata, sebagai tindakan serta merta, Jabatan Air Negeri Sabah (Jans) akan memperkenalkan sistem vendor dalam tempoh terdekat bagi membekalkan air kepada penduduk setinggan selaras dengan keputusan Jemaah Menteri Negeri baru-baru ini.
“Inisiatif ini akan membolehkan kawalan dan pemantauan ke atas penggunaan air oleh penduduk di kawasan-kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau, yang juga Menteri Kerja Raya berkata, kementeriannya sedang melaksana inisiatif untuk menstabilkan sepenuhnya bekalan air di kawasan bandar raya yang kini masih berhadapan dengan gangguan bekalan air.
Menurut Shahelmey, gangguan bekalan air berlaku susulan sambungan paip haram serta kerja-kerja penyelenggaraan di Loji Rawatan Air (LRA) dan juga sistem agihan sama ada berjadual atau kecemasan.
Kata beliau, inisiatif menstabilkan bekalan air di kawasan Kota kinabalu termasuklah penambahan kapasiti bekalan air daripada LRA Telibong 2 Fasa 2 sebanyak 15 hingga 20 juta liter sehari (MLD). Ini telah memberi impak signifikan kepada bekalan air di kawasan utara Kota Kinabalu.
Loji yang berkapasiti 80 MLD itu dijangka akan membekalkan air dengan kapasiti penuh sebaik sahaja jajaran paip di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo pakej kerja lapan disiapkan pada awal tahun depan.
Di samping itu, kementeriannya bersama dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air serta Kementerian Ekonomi sedang dalam proses akhir memuktamadkan kaedah pelaksanaan projek-projek untuk sistem bekalan air negeri Sabah di bawah pakej peruntukan RM300 juta yang dijangka dimulakan pada tahun ini.
“Skop-skop di bawah projek ini adalah bagi mengurangkan gangguan bekalan, menstabilkan tekanan air, menyelesaikan masalah sambungan tidak mengikut peraturan, menaik taraf dan membaiki aset-aset pam serta penambahan kapasiti loji rawatan air di daerah Kota Kinabalu.
“Skop projek ini juga turut melibatkan daerah Papar, Keningau, Lahad Datu dan Tawau,” katanya. –UTUSAN










