KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih meneruskan siasatan motif serangan asid ke atas pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim dalam kejadian di sebuah pusat belah-belah di Kota Damansara, bulan lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, siasatan bagi mengesan pelaku masih giat dijalankan dan tidak akan terhenti sehingga pelakunya ditangkap.
Menurut beliau, PDRM kini meluaskan skop siasatan termasuk mengambil beberapa keterangan di pejabat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membabitkan dua fasa yang kini memasuki fasa kedua.
“Bagaimanapun buat masa ini kita belum dapat ‘established’ (memastikan) motif (serangan) ke atas ketiga-tiga serangan (ke atas Faisal,Akhyar Rashid dan Safiq Rahim) itu.
“Apa yang kita nampak hanyalah ‘pattern’ (corak) serangan yang berlaku selang dua hari setiap serangan. Pattern itu kita nampak, motif kita tidak ada,” katanya dalam sidang akhbar khas di Bukit Aman di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengarah(Risikan / Operasi) JSJ Bukit Aman, Deputi Komisioner Fadil Marsus dan Ketua Penolong Pengarah (KPP) Bahagian Pencegahan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd. Farouk Eshak.
Dalam serangan asid ke atas Faisal, Mohd. Shuhaily berkata, kesan cap jari yang diperoleh di lokasi tidak membuahkan hasil siasatan, manakala fotofit suspek yang disiarkan juga tidak banyak dapat membantu siasatan polis untuk mengesan pelakunya.
Sehubungan itu, katanya, pihak polis sedang bekerja keras dalam tugas risikan kerana siasatan kes ini agak rumit dan pihak PDRM memerlukan lebih masa untuk menyelesaikan siasatan.
“Apabila tiada saksi awam atau saksi bebas yang dapat membantu (siasatan) kami itu yang menjadi cabaran, tetapi kita tidak akan berhenti.
“Pihak JSJ akan meneruskan (siasatan) dan apa sahaja keputusan yang kita peroleh daripada siasatan ketiga-tiga kes, kita akan teruskan siasatan daripada situ,” katanya.
Mengulas mengenai kenyataan Faisal yang memaklumkan kali terakhir beliau dihubungi pihak polis adalah pada minggu pertama kejadian, Mohd. Shuhaily berkata, pihaknya akan menghubungi Polis Kontinjen Selangor untuk mendapatkan maklumat mengenai perkara berkenaan.
“Dari segi perkembangan siasatan sebenarnya tidak banyak yang kita boleh maklumkan perkembangannya kepada mangsa (Faisal) namun kita akan jumpa dengan Faisal sendiri nanti,” katanya.
Faisal semalam membuat penampilan kali pertama pada sidang akhbar di Pusat Latihan Selangor FC dan memberitahu beliau tidak mahu berselindung sebaliknya ingin menjalani kehidupan seperti manusia biasa.
Pada 5 Mei lalu, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali menyebabkan kecederaan pada badannya.
Terdahulu, pada 2 Mei lalu, pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar cedera selepas menjadi mangsa samun dalam kejadian di Terengganu.
Pada 7 Mei lalu pula, cermin kereta Safiq yang juga bekas ketua pasukan kebangsaan, dipecahkan individu tidak dikenali berhampiran pusat latihan Johor Darul Ta’zim (JDT), di Johor Bahru.- UTUSAN










