KUALA LUMPUR: Pemain sensasi Selangor FC (SFC), Faisal Halim, berikrar skuad Gergasi Merah akan bangkit menentang Sabah FC pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Likas malam ini.
Bagi Faisal, pertembungan negeri di bawah bayu itu adalah peluang terbaik SFC untuk memulihkan semula keyakinan peluang selepas aksi longlai pada Liga Juara-Juara Asia II (ACL II) tewas tangan Persib Bandung serta prestasi Liga Super yang tidak konsisten.
Pemain berusia 27 tahun itu mahu mengotakan janjinya ketika beliau turun bersemuka dengan penyokong SFC yang mengepung perkarangan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Kelana Jaya, pada Khamis lalu.
“Sebagai kapten dan rakan-rakan lagi akan bagi yang terbaik di Sabah nanti InsyaAllah. Kita akan buat yang lebih baik nanti,” kata Faisal kepada penyokong Red Giants.
Ketika ini, SFC yang pernah 33 kali menjulang Piala Malaysia masih mencari rentak sebenar apabila sekadar menghuni tangga kelima Liga Super dengan 13 mata selepas lapan perlawanan.
Namun kedudukan itu tidak mencerminkan kekuatan sebenar pasukan yang sarat dengan bintang, sebaliknya menjadi peringatan agar mereka segera bangkit sebelum musim semakin menghampiri kemuncak.
Atas sebab itu, aksi separuh akhir menentang Sabah FC dilihat medan terbaik untuk Selangor membuktikan maruah mereka belum tercalar, sekali gus menyalakan semula harapan ke pentas final Piala FA.
Jika berjaya mara ke final, ia bukan sekadar mengulangi pencapaian musim lalu tetapi juga peluang menebus kehampaan selepas dikecewakan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan kekalahan 1-6 dalam perlawanan akhir. – UTUSAN










