NIBONG TEBAL: Calon yang manakah akan diletakkan oleh Pas bagi mempertahankan kubu mereka ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, 6 Julai ini masih menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini.
Difahamkan, ketika ini, terdapat tiga nama yang disebut-sebut berpotensi untuk mewakili parti itu yang akan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).
Calon pertama ialah balu kepada Allahyarham Nor Zamri Latiff iaitu Musalmah Yusop yang pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Pilihan Raya Muslimat Pas Nibong Tebal dan Ketua Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Muslimat Pas Pulau Pinang sebelum ini.
Selain Musalmah, nama yang turut disebut berpotensi untuk dicalonkan ialah Setiausaha Pas negeri, Iszuree Ibrahim serta orang ‘kuat’ Nor Zamri di Nibong Tebal yang juga bekas Ketua Pemuda Pas Kawasan Nibong Tebal iaitu Zulazhar Mohamad.
Mengulas lanjut mengenai kemungkinan itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Sivamurugan Pandian berkata, beliau melihat peluang untuk menjadi calon tertumpu antara Iszuree dan Zulazhar sahaja buat masa ini.
Beliau berkata, walaupun berpotensi, nama Musalmah mungkin telah ‘dikeluarkan’ daripada senarai awal kerana Pas pastinya mahu mengelak daripada dianggap meraih undi simpati meskipun isteri kepada Nor Zamri itu agak aktif berpolitik sebelum ini.
“Dalam hal ini, saya melihat peluang (sebagai calon) terarah kepada Iszuree walaupun beliau bukan anak tempatan (Sungai Bakap). Tapi, mungkin juga ada perubahan di saat akhir selepas nama Dr. Jo (Joohari Ariffin) diumumkan sebagai calon PKR yang akan mewakili Kerajaan Perpaduan.
“Tidak mustahil juga andai Pas meletakkan orang ‘kuat’ Nor Zamri (Zulazhar). Untuk pengetahuan, Pas sebenarnya mempunyai ramai calon yang berkelayakan. Jadi mungkin mereka masih mencari yang terbaik (sebagai calon) tanpa perlu mengharapkan undi simpati daripada pengundi Sungai Bakap,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau berkata, berbanding Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR, tekanan sebenarnya terarah kepada Pas atau Perikatan Nasional (PN) selaku penyandang.
“Walaupun keputusan PRK ini tidak akan mengubah apa-apa, tapi, ia boleh memberikan keabsahan moral kepada kedua-dua pihak (PN dan Kerajaan Perpaduan) jika menang,” jelasnya.
Dalam pada itu, Sivamurugan berkata, selain PN dan Kerajaan Perpaduan, beliau menjangkakan akan ada calon Bebas atau calon daripada parti lain bertanding pada PRK DUN Sungai Bakap ini.
“Saya rasa akan ada (calon Bebas atau parti lain bertanding). Jarang berlaku PRK ini melibatkan pertembungan ‘satu lawan satu’ sahaja,” katanya.
Pengisytiharan calon Pas yang akan mewakili PN dijangka dibuat malam esok di Simpang Ampat iaitu lokasi yang hampir sama dengan pengumuman calon PKR atau Kerajaan Perpaduan sebelum ini.
Kerusi DUN Sungai Bakap sebelum ini terpaksa dikosongkan susulan kematian Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang yang lalu, Nor Zamri berjaya menewaskan calon PH daripada PKR iaitu Norhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. –UTUSAN










