MEKAH: Lebih separuh daripada 31,600 jemaah haji Malaysia selesai melaksanakan Nafar Awwal iaitu melontar jamrah pada dua daripada tiga hari tasyrik, semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, separuh daripada jemaah haji yang lain pula melaksanakan Nafar Thani iaitu melontar bagi ketiga-tiga hari tasyrik.
Katanya, setakat ini semua proses melontar bagi semua jemaah haji terutama dari Malaysia berjalan lancar.
“Alhamdulilah pada hari ini (semalam) sebahagian besar jemaah haji Malaysia menyempurnakan Nafar Awwal dan bergerak ke Mekah.
“Ada sebahagian mereka buat persediaan untuk pulang dengan penerbangan pertama KT1 yang berlepas pada 24 Jun ini,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Nafar Awwal ialah apabila jemaah yang sudah melengkapkan empat daripada enam rukun kemudian berniat keluar dari Mina untuk mengambil nafar lebih awal iaitu pada 12 Zulhijjah selepas melontar jamrah pada 11 dan 12 Zulhijjah.
Enam rukun haji pula ialah ihram haji, wukuf di Arafah, tawaf, saie tahallul dan tertib pada kebanyakan rukun.
Jemaah haji yang melakukan Nafar Awwal iaitu bermabit cuma dua malam dan mereka juga melontar di tiga Jamrah pada dua hari daripada tiga hari tasyrik.
Dalam pada itu Mohd. Naim berkata, kebanyakan pesakit mendapat rawatan di Pusat Rawatan Tabung Haji di Mekah pada kadar yang tinggi sejak beberapa hari lalu.
“Pusat Rawatan Tabung Haji ini antara yang ramai terdiri 71 pesakit yang dibawa petugas. Ini kerana keadaan cuaca agak panas. Jadi pesakit mengalami kesakitan khususnya pada bahagian paru-paru,” katanya. – UTUSAN











