NIBONG TEBAL: Kedah mempelawa Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mendapatkan lebihan air bersih dari negeri itu yang disimpan di Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), membuat pelawaan itu sebagai alternatif kepada Pulau Pinang bagi mengatasi masalah ketiadaan air yang sering berlaku di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) termasuk di Sungai Bakap.
“Saya ada lebihan air di LRA Lubuk Buntar. Kalau nak, ‘mai’ (datang) beli, saya boleh jual. Ada lebihan air di situ, dengan suci hati (akan jual).
“Tapi, syarat dia, (Pulau Pinang) kena beli. Tak boleh ambil free (percuma) macam di Sungai Muda (Kedah),” katanya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) PN bagi kerusi Sungai Bakap di pekarangan pejabat Pas Kawasan Nibong Tebal, di sini, malam semalam.
Terdahulu, ketika berucap sempena majlis tersebut, Muhammad Sanusi berkata, PN akan menggunakan segala saluran yang ada ketika ini iaitu tidak hanya dalam media sosial untuk menyalurkan maklumat kepada rakyat semasa berkempen pada PRK Sungai Bakap, 6 Julai nanti.
Katanya, ini kerana terdapat segelintir pihak yang mula menyekat kandungan berkaitan PN yang dimuat naik ke dalam media-media sosial.
“Kita sedar, mereka dah mula sekat kita (melalui penggunaan media sosial). Tapi, kita akan lipatgandakan lagi (hantaran). Ketika itu, kita boleh lihat berapa banyak content (kandungan) yang mereka mahu sekat,” katanya.
Katanya, meskipun berdepan pelbagai rintangan atau cabaran, jentera PN di seluruh kawasan akan ‘dikerah’ turun membantu kempen Pas di Sungai Bakap sekali gus mempertahan kemenangan yang diraih di kerusi tersebut ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, tahun lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi kerusi DUN Sungai Bakap pada 22 Jun dan 2 Julai selain memilih tarikh 6 Julai sebagai hari pengundian.
Pilihan raya tersebut diadakan susulan kematian penyandang kerusi berkenaan yang mewakili PN, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut. – UTUSAN










