Rombakan Kabinet jika prestasi ekonomi tidak baik tahun depan

Rombakan Kabinet jika prestasi ekonomi tidak baik tahun depan

Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Makan Tengahari Mesyuarat Agung Tahunan AMCHAM ke-47 di Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur hari ini. -UTUSAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak teragak-agak merombak Kabinet sekiranya Indeks Daya Saing Dunia (IMD) negara pada tahun hadapan mencatatkan kedudukan tidak memuaskan. 

Perdana Menteri berkata, salah satu kritikan utama laporan terbabit adalah melaksanakan penyasaran subsidi yang dianggap tidak popular.

“Namun, kerajaan (hari ini) berbuat demikian dan saya fikir ia dengan sendirinya menyelesaikan kritikan kedua terhadap prestasi ekonomi di Malaysia serta saya harap insya-Allah tahun depan akan mencatatkan laporan yang lebih baik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jika tidak, saya terpaksa membuat beberapa rombakan kecil dalam Kabinet. Hanya (itu) cara untuk menyelamatkan perdana menteri,” katanya secara berseloroh. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pada Majlis Makan Tengahari Dewan Perniagaan Amerika Syarikat dan Malaysia (AMCHAM) di sini.

Terdahulu, Anwar berkata, Malaysia perlu kekal sebagai negara perdagangan terbuka kepada pelaburan termasuk dari Amerika Syarikat (AS). 

“Malaysia mesti kekal sebagai negara perdagangan terbuka kepada pelaburan. 

“Oleh itu, kerjasama antara Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Global Infrastructure Partners (GIP) kepada Malaysia adalah kritikal dan kami sebagai kerajaan akan menyokong dan begitu juga penglibatan Blackrock di negara ini. 

“Saya sangat jelas di hadapan semua ahli Parlimen dan saya fikir itu menjelaskan dengan baik kedudukan kerajaan, pelaburan dari luar negara khususnya dari Amerika Syarikat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini