Rasuah: Dua pegawai kanan agensi penguat kuasa direman - Utusan Malaysia

Rasuah: Dua pegawai kanan agensi penguat kuasa direman

DUA pegawai penguat kuasa (baju oren) dan isteri salah seorang pegawai terbabit (dua, kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Dua pegawai kanan sebuah agensi penguat kuasa direman lima hari bermula semalam selepas disyaki meminta dan menerima rasuah RM30,000, tiga tahun lalu.

Seorang wanita yang juga isteri kepada salah seorang pegawai penguat kuasa berkenaan turut direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes yang sama.

Perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek yang berusia 36 sehingga 41 tahun itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Kuala Terengganu, Yuhanis Mohd. Roslan, hari ini.

Perinah reman berkenaan bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Ketiga-ketiga suspek disyaki meminta dan menerima wang rasuah RM30,000 daripada seorang lelaki ketika dua pegawai penguatkuasa itu bertugas di sebuah daerah di Terengganu pada 2001.

Bayaran itu dikatakan sebagai balasan melepaskan rakan lelaki berkenaan yang ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Wang rasuah berkenaan juga disyaki digunakan salah seorang suspek yang kini bekerja di Kedah dan isterinya untuk dijadikan modal pelaburan judi secara dalam talian.

Hasil siasatan SPRM kemudian mendapati wang tersebut pada awalnya disyaki telah dimasukkan ke dalam akaun pihak ketiga sebelum dipindahkan ke akaun milik isteri salah seorang suspek.

Terdahulu kesemua mereka ditahan antara pukul 2 sehingga 5.30 petang pada Ahad ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Terengganu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×