ALOR SETAR: Pusat rekreasi Taman Eko Rimba (TER) Puncak Janing, dekat Padang Terap ditutup sementara bermula hari ini susulan dakwaan terdapat individu dijangkiti penyakit kencing tikus setelah mengunjungi kawasan tersebut.
Pengarah Jabatan Perhutanan Kedah, Muhammad Abdullah berkata, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat bersama Pegawai Daerah Padang Terap setelah individu terbabit dikatakan mempunyai simptom penyakit berkenaan dan menerima rawatan di hospital.
“Kita mendapat maklumat ada individu yang bergejala dijangkiti kencing tikus, sekarang Pejabat Kesihatan Daerah Padang Terap sedang melakukan pemantauan dan siasatan, kita tunggu pengesahan daripada mereka dahulu.
“Pejabat Kesihatan daerah juga diarahkan mengambil sampel air di kawasan berkenaan. Kita sudah tutup sementara waktu bagi mengelak orang ramai berkunjung sehingga keadaan pulih dan selamat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Muhammad memberitahu, pihaknya turut meletakkan tali amaran agar orang ramai tidak memasuki kawasan itu dan harap penduduk kampung dan orang ramai menjauhi kawasan ini sehingga ia disahkan bebas daripada penyakit ini. Penutupan ini adalah sebagai langkah berjaga-jaga.
“Selain itu anggota Jabatan Perhutanan turut ditempatkan di kawasan tersebut untuk memantau dan mengelak sebarang pencerobohan,” katanya.
Baru-baru ini, dua pengunjung menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital di negeri ini disyaki dijangkiti penyakit kencing tikus selepas berkunjung ke TER Lata Bayu, Baling. –UTUSAN










