GEORGE TOWN : Kerajaan negeri telah memilih jajaran terbaik yang dicadangkan oleh Mass Rapid Transit Corp Sdn. Bhd. (MRT Corp) untuk projek Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, surat kepada Kementerian Pengangkutan juga telah dihantar kira-kira dua minggu lalu bagi menyatakan persetujuan terhadap jajaran yang dicadangkan.
“Kami telah memilih jajaran yang hampir sama dengan jajaran asal. Jajaran yang dipilih ini hanya berbeza sedikit sahaja,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, di sini hari ini.
Kementerian Pengangkutan secara rasmi mengambil alih projek LRT Pulau Pinang selepas Kabinet meluluskan pembangunan projek tersebut pada 22 Mac lalu.
Menurut Kon Yeow, jajaran yang dicadangkan oleh MRT Corp ini adalah jajaran terbaik untuk kesinambungan jajaran lain di masa depan.
“Jajaran yang dipilih oleh kerajaan negeri itu bermula dari Pulau Silikon dan menghubungkan Penang Sentral ke kawasan Macallum di George Town,” kata beliau.
Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, cadangan berkaitan kajian semula sistem agihan cukai kepada negeri dengan Kerajaan Pusat memulangkan sekurang-kurangnya 20 peratus hasil cukai yang dikutip daripada Pulau Pinang kepada negeri itu semula tidak dapat dilaksanakan buat masa ini.
Katanya, maklum balas berkaitan cadangan berkenaan diperoleh menerusi pertemuan beliau dengan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, baru-baru ini.
“Pada ketika ini, Menteri Kewangan (Amir Hamzah) berterus terang bahawa ada kekangan fiskal negara. Maka, beliau maklumkan ada mekanisma lain selain pengagihan semula hasil cukai, iaitu melalui pemberian geran-geran untuk tujuan khusus kepada negeri,” katanya.
Pada masa yang sama, kata beliau, menerusi pertemuan tersebut juga, Amir Hamzah memaklumkan bahawa projek Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua kini berada dalam senarai perbincangan oleh kerajaan Pusat.
Sementara itu, Kon Yeow berkata, pihaknya juga berharap Kerajaan Pusat akan membincangkan inisiatif geran padanan bagi menyokong penubuhan taman reka bentuk litar bersepadu (IC) serta akademi reka bentuk cip di Pulau Pinang.
Katanya, taman reka bentuk IC itu akan membolehkan Pulau Pinang memperkukuh ekosistem semikonduktor di Malaysia dengan kepakaran jurutera yang mempunyai kemahiran yang tinggi.-UTUSAN










