GEORGE TOWN : Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil mendahului senarai penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang Tahun 2026 sempena Hari Ulang Tahun Ke-85, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.
Pengerusi Majlis-Majlis Rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Law Choo Kiang berkata, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai akan menerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Katanya, istiadat penganugerahan itu akan berlangsung selama empat hari bermula esok di Dewan Sri Pinang di sini dengan seramai 1,221 individu akan menerima pengiktirafan negeri membabitkan 101 penerima Darjah Kebesaran serta 1,120 penerima Bintang dan Pingat Kehormatan.
“Penerima-penerima anugerah ini pula terdiri daripada kalangan anggota perkhidmatan awam negeri dan Persekutuan, ahli politik, tokoh korporat, anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO), usahawan tempatan serta ahli badan sukarelawan,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, bagi Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang turut membawa gelaran Datuk Seri, seramai 19 individu dipilih sebagai penerima termasuk Pengerusi MARA Incorporated Sdn. Bhd., Datuk Wira Abdul Halim Mohammad; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Penang, Datuk Loo Lee Lian dan Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah.
Beliau berkata, seramai sembilan individu pula akan menerima Darjah Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) yang membawa gelaran Datuk termasuk bekas Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail dan Pengarah Urusan UEM Group Berhad, Datuk Amran Hafiz Affifudin.
“Sementara itu, seramai 72 individu dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang turut membawa gelaran Datuk termasuk seniman terkenal, Allahyarham Nordin Ahmad: Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Mohamed Abdul Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Abdul Latiff Abd. Aziz dan Pengarah Projek SRS LRT Sdn. Bhd., Adil Putra Ahmad.
“Pada masa yang sama, seramai 92 individu turut menerima Darjah Johan Negeri (DJN) manakala 31 lagi menerima Bintang Cemerlang Negeri (BCN).
“Bagi kategori pingat kehormatan pula, seramai 194 individu menerima Pingat Kelakuan Terpuji (PKT), 328 menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK), 463 menerima Pingat Jasa Masyarakat (PJM) dan 12 lagi menerima Pingat Bakti Setia (PBS),” ujar beliau.-UTUSAN










