GEORGE TOWN : Seorang lelaki berusia 54 tahun melecur tahap satu pada bahagian tangan dalam satu kebakaran melibatkan tiga buah rumah teres di Taman Green Lane, Jelutong di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.43 petang itu, mangsa yang juga merupakan penghuni di salah sebuah daripada tiga rumah teres terbabit dikatakan sempat menyelamatkan diri sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi.
Difahamkan, lelaki tersebut kini berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan awal daripada pasukan Ambulans Komuniti Sungai Ara yang berada di lokasi.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak segera dikerah ke lokasi dengan dibantu oleh beberapa pasukan BBP berhampiran sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati, salah satu daripada tiga buah rumah yang terbakar itu mengalami kemusnahan sehingga 80 peratus manakala dua lagi rumah mengalami kerosakan sekitar lima peratus sahaja.
“Selain rumah, kebakaran yang sama turut merosakkan sebuah van jenis Toyota Lite Ace dengan anggaran kemusnahan sebanyak 80 peratus,” katanya di sini, hari ini.
Tambah beliau, operasi ditamatkan kira-kira pukul 5.42 petang selepas kerja-kerja pemadaman api selesai sebelum kes diserahkan sepenuhnya kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan lanjut.-UTUSAN










