PTP kini pelabuhan kontena kelima paling cekap di dunia - Utusan Malaysia

PTP kini pelabuhan kontena kelima paling cekap di dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), usaha sama antara Kumpulan MMC yang berpangkalan di Malaysia dan Terminal APM di Belanda kini merupakan pelabuhan kontena kelima paling cekap di dunia.

Menurut Indeks Prestasi Pelabuhan Kontena (CPPI) 2023 yang diterbitkan baru-baru ini, PTP telah meningkat daripada tempat keenam kepada kedudukan kelima, selain meraih kedudukan pertama di rantau Asia Tenggara.

Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, pencapaian tersebut menunjukkan usaha PTP untuk meningkatkan keselamatan, kecemerlangan operasi dan penambahbaikan berterusan membawa perubahan.

“Ini sekali gus meningkatkan prestasi kami di seluruh rantaian bekalan dan membolehkan kami menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

“Sebagai prestasi terbaik di Asia Tenggara, PTP bukan sahaja mengukuhkan status kami sebagai hab pemindahan paling sibuk dan terbesar di Malaysia, tetapi juga mengukuhkan kedudukan kami sebagai pintu masuk perdagangan yang penting untuk seluruh rantau ini, walaupun di tengah-tengah persekitaran perkapalan global yang mencabar,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pencapaian penting itu menyerlahkan kestabilan dan komitmen pihaknya yang tidak berbelah bahagi untuk melayani pelanggan dengan cara yang terbaik.

“Saya mengucapkan tahniah kepada pekerja kami yang bekerja keras atas pencapaian cemerlang ini dan berterima kasih kepada semua pihak berkepentingan yang menyokong kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman berkata, dengan pelbagai pencapaian kami yang lain dari masa ke masa, ia menyerlahkan kepentingan PTP kepada sektor maritim, kesejahteraan ekonomi dan perdagangan untuk rangkaian global.

Ujarnya, dengan menyelaraskan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), dasar keselamatan dan strategi pendigitalan, kami bukan sahaja meningkatkan kecekapan dan mengoptimumkan operasi, tetapi juga meminimumkan kesan alam sekitar kami.

“Satu sasaran penting ialah usaha berterusan kami yang bertujuan untuk mencapai sasaran pengurangan pelepasan sebanyak 45 peratus menjelang 2030, sementara kami terus berusaha untuk mencapai prestasi tinggi.

“PTP kekal komited terhadap inovasi dan kecekapan. Pelabuhan akan terus melabur dalam infrastruktur, teknologi canggih dan tenaga kerja kami yang berharga untuk mengukuhkan kepimpinan kami dalam operasi pelabuhan kontena global,” tambahnya.

CPPI, yang dibangunkan oleh The World Bank dan S&P Global Market Intelligence adalah berdasarkan set data paling luas setakat ini, meliputi 405 pelabuhan di seluruh dunia.

Ia termasuk lebih 182,000 panggilan kapal, 238.2 juta pemindahan, dan kira-kira 381 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) untuk keseluruhan tahun 2023.

Prestasi pelabuhan diukur dengan kecekapan masa pusing balik kapal, yang dikenali sebagai Jumlah Jam Pelabuhan – jumlah tempoh dari apabila kapal mencapai had pelabuhan, stesen perintis atau zon berlabuh, sehingga ia berlepas dari dermaga selepas melengkapkan pertukaran kargonya.

Menurut laporan CPPI, PTP mempunyai 3,655 panggilan kapal dan mencapai skor indeks 158.32 pada 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya