PETALING JAYA: Vantris Energy Berhad (Vantris Energy), sebelum ini dikenali sebagai Sapura Energy Berhad menerima Pendapat Audit Bersih pertama dalam tempoh empat tahun bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2026, sekali gus mengukuhkan usaha syarikat untuk keluar daripada status Amalan Nota 17 (PN17).
Kumpulan berkata, juruaudit luar, Ernst & Young PLT (EY) telah mengeluarkan pendapat audit tanpa teguran terhadap penyata kewangan teraudit tahun kewangan 2026 yang diterbitkan pada 29 Mei 2026 tanpa sebarang ketidakpastian material berkaitan status usaha berterusan.
Katanya, keputusan audit itu merupakan satu pencapaian penting dalam usaha pemulihan kewangan dan penstrukturan semula syarikat serta menyokong strategi Vantris Energy untuk keluar daripada klasifikasi PN17 dan kembali kepada kedudukan kawal selia yang normal di Bursa Malaysia.
Tambahnya, sepanjang tahun berkenaan, susulan kelulusan Pelan Regularisasi oleh pembiaya, pemegang saham dan pihak berkuasa kawal selia, kumpulan berjaya mengurangkan jumlah pinjaman daripada kira-kira RM10.8 bilion kepada RM5.5 bilion, selain memulihkan kedudukan kunci kira-kira kepada aset bersih positif sekitar RM3.0 bilion.
Melalui suntikan dana baharu daripada Malaysia Development Holding Sdn. Bhd., kumpulan turut membuat pembayaran kira-kira RM1.1 bilion kepada lebih 1,400 vendor dalam ekosistem industri Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Vantris Energy, Muhammad Zamri Jusoh berkata, Pendapat Audit Bersih itu mencerminkan kemajuan ketara yang dicapai dalam menstabilkan kedudukan kumpulan selepas melalui tempoh ketidaktentuan kewangan yang berpanjangan.
“Penyempurnaan proses penstrukturan semula kewangan, pengurangan ketara dalam jumlah pinjaman dan pemulihan ekuiti positif telah meletakkan Vantris Energy pada kedudukan kewangan yang lebih kukuh.
“Ini merupakan satu langkah penting ke arah keluar daripada status PN17 dan mengembalikan syarikat kepada kedudukan kawal selia yang normal,” katanya dalam kenyataan.
Dalam laporan tahun kewangan 2026, Vantris Energy menyatakan bahawa proses penstrukturan semula itu telah membuka laluan yang lebih jelas ke arah pemulihan.
Namun, kemajuan berterusan bergantung kepada keupayaan kumpulan menterjemahkan kedudukan kewangan yang lebih kukuh kepada prestasi operasi yang mampan.
Kumpulan kekal memberi tumpuan kepada kawalan pelaksanaan projek, pengurusan kecairan, pengoptimuman aset, penyertaan secara terpilih dalam projek serta pengukuhan tadbir urus korporat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Vantris Energy, Ganesh Gunaratnam berkata, pencapaian tersebut mengesahkan kemajuan yang telah dicapai dalam memulihkan kedudukan kewangan syarikat.
“Penstrukturan semula yang dilaksanakan telah mengurangkan beban pembiayaan, memulihkan ekuiti positif dan mengukuhkan struktur modal kumpulan.
“Tumpuan kami kini adalah untuk mengekalkan disiplin kewangan, meningkatkan daya tahan aliran tunai serta memastikan pemulihan Kumpulan disokong oleh prestasi operasi yang mampan,” katanya.
Vantris Energy akan terus memberi tumpuan kepada usaha mengekalkan prestasi kewangan yang semakin baik, melaksanakan pelan perniagaan strategiknya serta mencipta nilai kepada semua pihak berkepentingan.
Syarikat juga akan terus memaklumkan perkembangan berkaitan usaha keluar daripada status PN17 dan sebarang perkembangan material lain selaras dengan keperluan kawal selia. – UTUSAN










