KUALA TERENGGANU: Mahkamah membenarkan seorang lelaki etnik Rohingya direman tiga hari bagi membantu siasatan kes kemalangan jalan raya yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal di Kilometer 12.5 Jalan Kuala Terengganu–Kuantan berhampiran Rusila, di sini pada 27 Mei lalu.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Noor Mazrinie Mahmood sehingga 5 Jun ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Ketua Polis Daerah Marang, Superintenden Mohd. Sofian Redzuan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa berusia 27 tahun menunggang motosikal Yamaha RXZ dari arah Kuala Terengganu menuju ke Rusila.
“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai terlibat pelanggaran dengan sebuah kereta Proton Saga yang dipandu lelaki warga Rohingya berusia 20 tahun yang sedang membelok ke kiri di laluan sama,” katanya.
Menurut beliau, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, pihak hospital mengesahkan mangsa meninggal dunia pada 2 Jun lalu ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya.
Beliau berkata, kes pada awalnya disiasat di bawah Seksyen 43(1) APJ 1987 kerana memandu secara tidak cermat dan tidak bertimbang rasa, namun kemudian diklasifikasikan semula kepada Seksyen 41(1) kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun, denda RM20,000 hingga RM50,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun.
Polis turut menyita kenderaan terlibat di bawah Seksyen 64(1) APJ 1987. – UTUSAN










