PETALING JAYA: Pelaksanaan Sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAMS) di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA T2) berjaya meningkatkan kelancaran aliran trafik di kawasan tepi jalan, dengan 99 peratus pengguna mematuhi tempoh kelonggaran 10 minit yang ditetapkan untuk aktiviti menurunkan dan mengambil penumpang.
Malaysia Airports dalam kenyataan berkata, purata masa berhenti kenderaan di kawasan berkenaan direkodkan hanya sedikit melebihi tiga minit sepanjang April dan Mei 2026, jauh di bawah had tempoh percuma yang diberikan.
Menurutnya, daripada kira-kira 1.13 juta kenderaan yang menggunakan kemudahan itu dalam tempoh dua bulan selepas pelaksanaan VAMS pada 31 Mac lalu, sebanyak 1.12 juta kenderaan atau 99 peratus berjaya mematuhi tempoh yang ditetapkan.
Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, keputusan awal yang memberangsangkan di T2, selepas pelaksanaan berjaya di Terminal 1 (T1) pada 1 Disember 2025, mengukuhkan visi jangka panjang syarikat untuk membangunkan operasi lapangan terbang yang lebih pintar, responsif dan bersedia menghadapi masa depan.
“VAMS adalah sebahagian daripada komitmen perkhidmatan kami yang lebih luas untuk terus menambah baik pengalaman menyeluruh di lapangan terbang bagi penumpang dan pemandu di KLIA.
“Selain meningkatkan aliran trafik dan kecekapan di kawasan tepi jalan, sistem ini turut menyumbang kepada persekitaran lapangan terbang yang lebih lancar, teratur dan berorientasikan perkhidmatan bermula daripada titik sentuhan pertama perjalanan penumpang,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan terus memperhalusi sistem ini pada masa hadapan dan meningkatkan pengalaman di kawasan tepi jalan, di samping meneroka pelaksanaan VAMS di lapangan terbang lain dalam rangkaiannya.
Sejak dilaksanakan di T1 dan T2, VAMS telah membantu menguruskan trafik di kawasan tepi jalan dengan lebih cekap, melibatkan lebih 7.3 juta kenderaan setakat ini.
Sistem VAMS direka untuk mengoptimumkan aliran trafik di kawasan tepi jalan yang mempunyai permintaan tinggi di KLIA, dengan kenderaan dijangka menyelesaikan urusan mengambil atau menurunkan penumpang dalam tempoh 10 minit.
Sistem itu turut dilengkapi langkah perlindungan bagi menguruskan kesesakan dan kelewatan operasi.
Malaysia Airports berkata, syarikat akan terus menambah baik dan memperkukuhkan VAMS selaras dengan komitmennya untuk menyediakan pengalaman lapangan terbang yang lebih lancar, boleh dipercayai dan berpusatkan penumpang. – UTUSAN










