KANGAR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim mengesahkan tidak ada usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ini.
Ia susulan titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sempena majlis perasmian penggal persidangan DUN Perlis ke-15 yang mahu Abu Bakar kekal sehingga akhir penggal.
Ahli Parlimen Arau itu berkata, pihaknya tiada masalah dengan titah berkenaan dan menyerahkan sebarang hala tuju kepimpinan negeri kepada pucuk pimpinan pusat.
“Saya tidak ada masalah. Sebagai Pengerusi PN, semuanya kita serahkan kepada yang terbaik. Itu titah tuanku, kita menjunjung kasih. Perkara lain kita serah kepada Jawatankuasa Pas Pusat dan kepimpinan PN Nasional,” katanya ketika ditemui di Kompleks Seri Putra, di sini, hari ini.
Shahidan yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat berkata, sebarang pergerakan atau keputusan rasmi adalah tertakluk kepada mesyuarat kepimpinan Pas pusat dijangka berlangsung pada minggu hadapan.
Katanya, kepimpinan Pas dan PN di peringkat negeri ketika ini hanya mengekalkan status berdasarkan keputusan sedia ada.
“Sekarang ini kedudukan kita adalah ikut apa yang sudah diputuskan pada masa lepas dan keputusan itu kekal sampai hari ini dan saya belum menerima apa-apa arahan lain.
“Kalau ada apa-apa perubahan, sudah pasti ia akan melalui mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat, insya-Allah minggu depan. Tugas Pas dan PN negeri adalah melaksanakan apa diputuskan di peringkat pusat,” katanya.
Katanya, persidangan DUN kali ini dijangka berjalan lancar dengan memfokuskan kepada perbahasan menjunjung kasih titah diraja, serta peranan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk melaksanakan tanggungjawab semak dan imbang.-UTUSAN










