PRK Sungai Bakap lubuk rezeki buat peniaga

PRK Sungai Bakap lubuk rezeki buat peniaga

SUASANA meriah di sekitar pusat penamaan calon di Dewan Serbaguna Jawi, Nibong Tebal di sini apabila ramai peniaga mengambil peluang untuk membuka perniagaan mereka di sini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: “Setiap kali adanya pilihan raya, saya akan masuk (berniaga) sebab boleh dikatakan inilah lubuk rezeki buat peniaga.”

Demikian penjelasan yang diberikan oleh seorang peniaga baju, Zaidi Ishak, 49 dari Kuala Lumpur.

Zaidi yang sudah berkampung di Sungai Bakap sejak seminggu lalu sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap 6 Julai ini berkata, hasil jualan ketika musim pilihan raya sememangnya mampu memberikan pulangan yang berlipat kaliganda sehingga mencecah RM250,000.

“Ketika Pilihan Raya Umum (PRU15) lalu, saya berada di Port Dickson dan rekod jualan baju ketika itu mencecah sehingga RM250,000 (hasil jualan) yang paling tinggi jika dibandingkan sebelum ini.

“Sementara itu, setakat hari ini sahaja, baju yang sudah terjual adalah sebanyak 500 helai. Diharapkan ada lagi rezeki untuk kami para peniaga di sini sepanjang hari ini sehinggalah tamat PRK,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, hari ini.

Dalam pada itu, seorang lagi peniaga, Mohd. Sudirman Mohd Shukri, 48, dan anaknya, Muhammad Danish Fakhrul Mohd Faidil, 15, berkata, dia sanggup memandu sejauh lebih 100 kilometer dari Alor Setar, Kedah ke Sungai Bakap di sini demi mencari rezeki sebagai penjual kacang dan air.

“Setiap kali adanya pilihan raya saya akan sampai walaupun jauh. Contohnya, ketika PRK DUN Kuala Kubu Baharu di Kuala Selangor baru-baru ini kerana menganggap peluang rezeki ketika PRK lebih meriah.

“Boleh dikatakan, di mana ada PRK atau PRU (Pilihan Raya Umum) insya-Allah, kami akan sampai,” katanya yang telah tiba di tapak jualan berdekatan Dewan Serbaguna Jawi, di sini seawal 6 pagi lagi.

PRK DUN Sungai Bakap terpaksa diadakan berikutan kematian Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat penyakit keradangan dalam perut.

Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal sebelum itu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang bagi kerusi tersebut Ogos lalu selepas menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose daripada PKR dengan majoriti 1,563 undi.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×