PETALING JAYA: Semua parti politik dan bakal calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 diingatkan supaya mematuhi segala undang-undang, peraturan serta arahan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran proses penamaan calon, Sabtu ini.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, semua pihak yang terbabit perlu mematuhi peraturan dan tata etika yang dikeluarkan SPR serta arahan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang proses penamaan calon.
“Hari Penamaan Calon PRN Johor ke-16 ditetapkan pada esok. Kertas penamaan calon hendaklah diserahkan antara pukul 9 pagi hingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di 56 pusat penamaan calon yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kertas penamaan calon boleh diserahkan oleh calon bersama pencadang dan penyokong, mana-mana dua daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka.
SPR turut menyarankan bakal calon supaya membuat semakan awal borang pencalonan dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor sebelum hari penamaan calon serta menjelaskan bayaran deposit lebih awal bagi mengelakkan sebarang masalah pada saat akhir.
Bagi calon yang mewakili parti politik, mereka juga perlu mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti ketika menyerahkan kertas penamaan calon.
Dalam pada itu, SPR mengingatkan calon yang telah membayar deposit bahan kempen bahawa mereka tertakluk kepada peruntukan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] serta undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan berkaitan aktiviti berkempen.
Antara larangan yang perlu dipatuhi termasuk penggunaan alat muzik atau pembesar suara menggunakan kenderaan serta menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan yang ditetapkan pada hari penamaan calon.
SPR turut mengingatkan bakal calon, penyokong dan pihak berkepentingan supaya mengambil langkah berjaga-jaga berikutan ramalan cuaca yang menunjukkan kemungkinan hujan dan ribut petir di beberapa lokasi di Johor pada hari penamaan calon.
Sehubungan itu, semua pihak disaran merancang perjalanan lebih awal bagi memastikan keselamatan dan kelancaran urusan penamaan calon PRN Johor ke-16.
PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai. – UTUSAN










