SHAH ALAM: Sejumlah 57.2 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis bernilai lebih RM4 juta dirampas polis Selangor dalam tiga serbuan yang dibuat di sekitar Subang Jaya, Klang dan Rawang pada 5 dan 6 Jun lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan pertama dibuat pada 5 Jun oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor di sebuah kediaman di sekitar kawasan Klang Selatan, lebih kurang pukul 5 petang berjaya merampas 36.4 kg pelbagai jenis dadah.
“Dadah yang dirampas adalah 16,843 gram (g) jenis ectasy, 7,299 g pil erimin 5, 6,776 g ketamine, 4,360 g syabu, dan heroin base 1,131 g yang dijumpai dalam sebuah kereta jenis Honda HRV dan rumah tersebut.
“Bagi kes ini, nilai rampasan adalah bernilai RM4.12 juta. Kami turut menyita sebuah kereta jenis Mercedes Benz CLA 200 dan sebentuk cincin emas dengan jumlah sitaan adalah RM131,428,” katanya dalam sidang akhbar, semalam.
Tambahnya, polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan yang berumur 30 tahun.
Bagi kes kedua pula, Hussein memaklumkan, polis merampas dadah jenis syabu seberat 20.8 kg yang bernilai RM666,944 susulan penangkapan seorang lelaki warga tempatan dekat kawasan parkir sebuah pusat beli-belah di sekitar Subang Jaya, lebih kurang 1.50 petang, 6 Jun lalu.
Menurutnya, dadah tersebut ditemui dalam 20 bungkusan di dalam sebuah beg kanvas berwarna putih.
“Susulan daripada tangkapan itu, pihak polis telah menahan tiga lagi lelaki tempatan di kawasan Rawang. Empat suspek berumur 30 hingga 50 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori, kontraktor binaan dan penganggur.
“Bagi kes ini, kami menyita sebuah kereta jenis Toyota CHR dan wang tunai dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM151,777,” ujarnya.
Katanya lagi, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari dibawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN










