KAJANG : Polis percaya suspek kes samun barangan kemas dianggarkan bernilai RM3.2 juta di sebuah pusat beli-belah di Kajang, di sini, 17 Jun lalu dapat dikenal pasti dalam masa terdekat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut kes terbabit dan buat masa ini masih belum ada tangkapan dilakukan.
“Namun kita percaya boleh kenal pasti suspek terbabit kejadian itu dalam masa terdekat.
“Dua lagi kejadian samun kedai emas sebelum ini di Kajang dan Klang Selatan dari kumpulan yang berbeza,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kajang (IPD), di sini hari ini.
Terdahulu berlangsung Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kajang baharu antara Senior Komisioner, Mohd Zaid Hassan dengan Asisten Komisioner, Naazron Abdul Yusof.
Pada 17 Jun lalu, media melaporkan polis memburu empat lelaki bertopeng dan bersenjata dipercayai merompak sebuah kedai emas dalam bangunan di sini.
Dalam kejadian pukul 3.15 petang itu, empat suspek dilihat memakai baju seakan pengawal keselamatan, bertopeng dan bersarung tangan gelap.
Mereka kemudian masuk ke premis terbabit, memecahkan cermin kaca simpanan emas menggunakan tukul besi dan mengambil emas itu.
Semasa kejadian, suspek dipercayai membawa dua pucuk pistol dan selaras senapang ke dalam premis berkenaan. – UTUSAN










