PETALING JAYA: Ibu kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Mateen dilihat dibawa turun dari kediamannya di Apartment Idaman, di sini menuju ke lokasi mayat kanak-kanak berkenaan ditemukan.
Suspek dilihat diiringi dan dikawal ketat anggota polis menuju ke arah sungai lokasi mayat Zayn ditemukan pada malam 6 Disember lalu.
Wanita berkenaan berpakaian lokap dilihat tertunduk ketika dibawa turun oleh sekumpulan pegawai dan anggota polis dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
Terdahulu, ibu kepada kanak-kanak berkenaan dibawa ke kediaman mereka di Blok R Apartment Idaman dipercayai bagi melakonkan semula kejadian.
Difahamkan, suspek akan dibawa semula ke kediaman dan lokasi kanak-kanak berkenaan ditemukan, iaitu saliran sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari blok kediaman yang dihuni keluarga berkenaan bagi melakonkan semula kejadian.
Sebelum ini polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh, susulan hasil bedah siasat yang menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.
Mayat Zayyan Rayyan ditemukan pada pukul 9.50 malam, 6 Disember lalu ketika pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, bersama penduduk Apartment Idaman, Damansara Damai, sedang menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat.
Mayat mangsa ditemukan lebih sejam kemudian. – UTUSAN









