Pengasuh akui sengaja dedah kanak-kanak 17 bulan hingga cedera

Pengasuh akui sengaja dedah kanak-kanak 17 bulan hingga cedera

Nor A'in Ismail hadir di Mahkamah Sesyen Kajang bagi menghadapi pertuduhan mendedahkan seorang bayi perempuan berusia 17 bulan yang mungkin mengalami kecederaan fizikal. UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG:  Seorang pengasuh sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan sengaja mendedahkan seorang bayi perempuan berusia 17 bulan yang mungkin mengalami kecederaan fizikal.

Tertuduh Nor A’in Ismail, 24, yang sedang mengandung membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid.

Mengikut pertuduhan, wanita itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia 17 bulan, didapati dengan sengaja mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah taska di Bandar Mahkota Cheras di sini pukul 4.15 petang pada 28 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Faelly Jeffrey Lanjungan memohon mahkamah menetapkan satu tarikh lain bagi pendakwaan memberikan laporan perubatan.

“Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu laporan perubatan penuh,” kata Faelly.

Bagaimanapun peguam Wan Guan Hui yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan dengan alasan tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah lampau selain tidak berisiko melarikan diri.

Mahkamah membenarkan Nor A’in diikat jamin RM8,000 beserta syarat tambahan melapor diri di balai polis sekali setiap bulan dan tidak mengganggu keluarga mangsa.

Tarikh 2 Julai ini ditetapkan sebutan kes dan laporan penuh perubatan mangsa.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret hari ini, pemilik taska, Chan Pei Kuan, 34, didenda RM3,500 selepas mengaku bersalah kerana pusat jagaan kanak-kanak itu beroperasi tanpa lesen, Mei lalu. 

Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz turut mengarahkan wanita itu dipenjara sebulan jika gagal membayar denda. 

Mengikut pertuduhan, wanita itu didapati menjalankan taman asuhan kanak-kanak yang tidak didaftarkan di bawah peruntukan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 di taska sama sama pukul 7.30 malam pada tarikh sama.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 yang boleh dihukum di bawah seksyen 6(2) akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000, penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Pada 3 Jun lalu, media melaporkan polis menyiasat dakwaan kanak-kanak perempuan berusia 17 bulan didera pengasuh di sebuah taska di Bandar Mahkota Cheras, Kajang.

Bapa kanak-kanak itu yang juga pengadu kes mendakwa anaknya diperlakukan dengan kasar ketika disuap makan, dengan rambutnya ditarik serta dipicit hidung. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN