Penagih dianggap sebagai pesakit selepas pindaan Akta Penagih Dadah dibuat

Penagih dianggap sebagai pesakit selepas pindaan Akta Penagih Dadah dibuat

SAIFUDDIN Nasution Ismail (depan, tengah) ketika menghadiri Program XPRESI GenTa (GENERASI KITA) Bersama Menteri Dalam Negeri: Solidariti Bebas Dadah di Dewan Chong Kuang, Sungai Bakap malam tadi.-UTUSAN/NORUL AKMA MD ZAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Tiada lagi istilah penagih dadah andai pindaan berjaya dilakukan terhadap Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 tidak lama lagi.

Sebaliknya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, penagih atau penyalah guna dadah itu akan diklasifikasikan atau dianggap sebagai pesakit sahaja.

“Kami (Kementerian Dalam Negeri atau KDN) telah menyelesaikan semua aturan untuk pindaan itu. Cadangan pindaan tersebut sebenarnya melibatkan proses libat urus yang lama dengan semua pemegang taruh dan semua agensi di bawah kementerian (KDN).

“Kemudian, kita bentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum diberikan kelulusan. Dalam hal ini, Jabatan Peguam Negara juga telah memberikan kelulusan.

“Jadi, kami juga mendaftarkan di Parlimen untuk mengambil giliran dalam pembentangan. Kalau tak ada apa-apa aral melintang dan bergantung kepada berapa banyak rang undang-undang (yang dibentang), kami berharap sebelum 18 Julai ini pembentangan pindaan ini dapat dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Program XPRESI GenTa (GENERASI KITA) Bersama Menteri Dalam Negeri: Solidariti Bebas Dadah di Dewan Chong Kuang, Sungai Bakap di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, tidak wujud kerenah birokrasi dalam proses untuk meminda akta tersebut setakat ini.

“Prosesnya akan menjadi lebih pantas sekaligus mendorong lebih ramai individu yang berkenaan (terlibat dengan penyalahgunaan dadah) secara sukarela memilih untuk datang sebagai pesakit.

“Dalam hal ini, kita tidak lagi melihat itu (penyalahgunaan dadah) sebagai elemen jenayah. Sebab itu, saya gunakan istilah ‘decriminalization’ (dinyahjenayahkan). Lagipun, mereka ini bukannya berada dalam kategori yang parah,” kata beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN