Isu Rohingya perlu ditangani secara menyeluruh, perlu kerjasama semua pihak

Isu Rohingya perlu ditangani secara menyeluruh, perlu kerjasama semua pihak

Kementerian Dalam Negeri (KDN)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu pelarian tidak boleh terus dilihat sebagai tanggungjawab negara penerima semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen lebih besar daripada negara asal, pertubuhan antarabangsa, rakan serantau dan aktivis kemanusiaan untuk mencari penyelesaian yang mampan.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, tumpuan sewajarnya perlu beralih daripada kritikan kepada usaha menangani punca sebenar migrasi paksa, termasuk membanteras sindiket penyeludupan migran dan pemerdagangan orang selain mempercepatkan proses penempatan semula.

Kata KDN, Malaysia pada masa sama terus komited mengurus isu migrasi tidak teratur secara bertanggungjawab, berperikemanusiaan dan selaras dengan keperluan keselamatan negara.

Katanya, komuniti antarabangsa, negara asal dan rakan serantau memainkan peranan lebih proaktif serta bertanggungjawab dalam mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu migrasi paksa yang semakin kompleks.

Jelasnya, dakwaan yang mengaitkan Malaysia dengan layanan tidak berperikemanusiaan terhadap kanak-kanak migran dan pelarian, termasuk komuniti Rohingya, tidak menggambarkan usaha sebenar yang sedang dilaksanakan kerajaan dalam mengurus isu berkenaan.

“Pelbagai langkah telah diambil bagi memastikan kebajikan dan perlindungan golongan terbabit terus diberi perhatian, termasuk melalui penyediaan Baitul Mahabbah serta usaha memperhalusi kerangka inisiatif Alternatif Kepada Penahanan Kanak-Kanak.

“Sehingga 28 Februari lalu, sebanyak enam Baitul Mahabbah beroperasi di seluruh negara dan menempatkan 188 kanak-kanak, termasuk tujuh yang dikategorikan sebagai kanak-kanak tanpa penjaga atau terpisah.

“Baitul Mahabbah adalah langkah peralihan dilaksanakan kerajaan sementara kerangka inisiatif alternatif kepada penahanan kanak-kanak yang lebih menyeluruh diperhalusi KDN bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), rakan strategik kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aktivis Rohingya, Noor Azizah sebelum ini mendakwa mengenai penahanan dan ketiadaan akses pendidikan untuk komuniti Rohingya di negara ini.

Dia turut mendakwa, lebih 2,000 kanak-kanak Rohingya di Malaysia yang didakwa ditempatkan di pusat tahanan imigresen dan membesar di sebalik jeriji besi berbanding berada dalam bilik darjah.

Mengulas perkara itu, KDN berkata, kementerian bersama Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) telah melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan kebajikan serta perlindungan kanak-kanak terbabit terus dipelihara.

Menurutnya, pelaksanaan Baitul Mahabbah merupakan langkah interim untuk menyediakan penempatan sementara yang lebih sesuai kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah bersama penjaga mereka.

“Inisiatif itu membolehkan kanak-kanak dipindahkan daripada persekitaran depot tahanan imigresen biasa sementara proses dokumentasi, pengesahan status dan penyelesaian lanjut dilaksanakan.

“Di Baitul Mahabbah, mereka ditempatkan dalam persekitaran lebih kondusif serta diberikan perhatian dari segi keperluan asas, keselamatan, kesihatan, aktiviti pendidikan tidak rasmi, bimbingan asas dan ruang riadah bersesuaian dengan umur serta keadaan mereka,” katanya.

KDN berkata, kerajaan turut merancang memperluas skop dan kapasiti Baitul Mahabbah secara berfasa, termasuk bagi menampung kategori umur kanak-kanak lain tertakluk kepada kesesuaian kemudahan, tahap keselamatan, keperluan perlindungan mereka serta kapasiti agensi pelaksana.

Katanya, kemasukan tidak sah, penyeludupan migran dan pemerdagangan orang membabitkan komuniti rentan termasuk Rohingya merupakan cabaran keselamatan dan kemanusiaan yang kompleks serta merentas sempadan.

“Dalam banyak keadaan, kanak-kanak menjadi mangsa kepada rangkaian sindiket yang mengambil kesempatan atas konflik, kemiskinan dan ketiadaan penyelesaian jangka panjang di negara asal.

“Sehubungan itu, Kerajaan Malaysia menyeru agar semua pihak, termasuk negara asal, pertubuhan antarabangsa, rakan serantau dan aktivis kemanusiaan memainkan peranan lebih tegas dan bertanggungjawab dalam mencari penyelesaian yang mampan,” katanya.- UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN