KUALA LUMPUR: Seramai 77,807 pekerja asing dibawa masuk ke negara ini sepanjang tahun lalu bagi memenuhi permintaan sektor tempatan termasuk pembinaan, perkilangan dan perkhidmatan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada jumlah itu, warga Indonesia merekodkan kemasukan tertinggi iaitu seramai 35,011 orang atau 45 peratus.
Katanya, ia diikuti oleh warga Nepal seramai 25,026 orang atau 32.2 peratus dan warga India seramai 6,245 orang (lapan peratus).
“Dari segi sektor pekerjaan, kemasukan pekerja asing sepanjang tempoh 2023, 2024 dan 2025 tertumpu kepada sektor pembinaan, perkilangan dan perkhidmatan selaras dengan keperluan pasaran buruh negara.
“Bagaimanapun, jumlah kemasukan pekerja asing pada tahun lalu itu juga berbeza dengan tahun sebelumnya, menunjukkan penurunan dari segi pengambilan golongan berkenaan oleh majikan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai keberkesanan pelaksanaan One-Stop Center untuk pekerja asing serta bilangan kumpulan berkenaan yang dibawa masuk ke negara ini sepanjang 2023, 2024 dan 2025 mengikut negara dan sektor pekerjaan mereka.
Saifuddin berkata,berdasarkan rekod Jabatan Imigresen, seramai 867,731 pekerja asing dibawa masuk ke negara ini sepanjang 2023 dengan warganegara Bangladesh merekodkan kemasukan tertinggi iaitu seramai 397,548 orang atau 45.8 peratus daripada keseluruhan kemasukan pekerja asing.
Menurutnya, ia diikuti oleh warga Nepal seramai 134,895 orang atau 15.6 peratus dan warga Indonesia seramai 122,908 orang atau 14.2 peratus.
“Bagi tahun 2024 pula, seramai 356,972 pekerja asing dibawa masuk ke Malaysia. Daripada jumlah itu, warga Indonesia merekodkan kemasukan tertinggi iaitu seramai 124,107 orang atau 34.8 peratus.
“Ia diikuti oleh warga India seramai 78,475 orang atau 22.0 peratus dan warga Kazakhstan seramai 51,362 orang atau 14.4 peratus,” katanya.
Menurutnya, kementerian juga sedang melaksanakan penambahbaikan berterusan dengan memperkenalkan sistem permohonan kuota secara dalam talian.
Katanya, langkah itu bertujuan bagi meningkatkan keberkesanan keseluruhan proses penggajian pekerja asing di negara ini.
“Melalui kaedah ini, majikan hanya perlu hadir secara fizikal sekali sahaja bagi tujuan sesi temuduga bersama Agensi Kawal Selia, sekali gus meningkatkan kecekapan, ketelusan dan penyampaian perkhidmatan yang lebih baik,” katanya. – UTUSAN










