Tapak projek IPD Ampang Jaya tanah Kerajaan Persekutuan

Tapak projek IPD Ampang Jaya tanah Kerajaan Persekutuan

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tapak projek pembinaan perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya merupakan tanah milik sah Kerajaan Persekutuan di bawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) yang telah diperuntukkan bagi kegunaan Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

KDN dalam satu kenyataan berkata, cadangan tersebut dilaksanakan sebagai sebahagian usaha kerajaan untuk memperkukuh kebajikan dan kesejahteraan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, KDN memahami kawasan tersebut sebelum ini turut dimanfaatkan komuniti setempat dan pendekatan yang diambil kerajaan adalah secara berhemah, bertanggungjawab dan mengambil kira sensitiviti serta kepentingan semua pihak yang terlibat.

“Sesi libat urus bersama pihak berkepentingan termasuk penduduk setempat dan pihak berkuasa tempatan akan terus dilaksanakan bagi memastikan setiap pandangan dan kebimbangan dapat diberi perhatian sewajarnya dalam proses pembangunan projek ini,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, KDN berkata, PBLT Sdn. Bhd. dilantik sebagai agensi pelaksana projek selaras dengan peruntukan dan tatacara Kerajaan Persekutuan yang sedang berkuat kuasa termasuk kelulusan berkaitan oleh Kementerian Kewangan.

Katanya, dalam pelaksanaan projek ini, PBLT Sdn. Bhd. berperanan sebagai agensi teknikal pelaksana projek kerajaan sepertimana fungsi yang lazim dimainkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan kerajaan yang lain.

“Pelantikan tersebut dibuat mengikut tatacara perolehan dan tadbir urus yang ditetapkan kerajaan serta tertakluk kepada pemantauan dan kawal selia agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan secara teratur, telus dan mematuhi semua prosedur yang ditetapkan,” ujarnya.

Sementara itu, KDN turut memberi jaminan bahawa tiada sebarang tindakan pembangunan akan dilaksanakan secara tergesa-gesa dan pelaksanaan projek masih tertakluk kepada semua proses, penilaian dan kelulusan pihak berkuasa berkaitan termasuk Penilaian Impak Sosial (SIA) yang ditetapkan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN