Pemuda tawar satu bahagian lembu korban RM400

Pemuda tawar satu bahagian lembu korban RM400

MOHD. Johari Mohammad melihat keadaan lembu yang akan dikorbankan pada sambutan Hari Raya Aidiladha di Kampung Batu 5, Tanah Merah, Kelantan semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Kenaikan kos ketika ini tidak menghalang niat murni seorang pemuda dari Kampung Batu 5 di sini apabila menawarkan satu bahagian lembu untuk ibadah korban pada harga RM400.

Harga yang ditawarkan oleh pemuda itu disifatkan antara termurah memandangkan satu bahagian lembu korban ketika ini bermula RM650 dan ke atas.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Johari Mohammad, 25, berkata, langkah itu bertujuan meringankan beban penduduk kampung selain menggalakkan mereka melakukan ibadah korban walaupun berdepan dengan peningkatan kos hidup ketika ini.

Menurutnya, ketika ini harga untuk satu bahagian lembu korban bermula RM650 dan ke atas bergantung kepada saiz lembu.

“Harga yang saya tawarkan ini untuk lembu jenis baka kampung. Ini merupakan kali pertama saya tawarkan harga rendah, Alhamdulillah sebanyak lima ekor akan dikorbankan pada hari raya pertama nanti.

“Ini adalah sumbangan kecil saya membantu penduduk kampung. Saya harap usaha ini mampu meringankan beban mereka yang mahu melaksanakan ibadah korban,” katanya.

Mohd. Johari memberitahu, pada masa sama dia berharap usaha itu dapat menjadi lubuk buatnya untuk mengumpul pahala.

Katanya, selain itu dia turut menawarkan harga lembu korban bermula RM450 hingga RM1,200.

“Harga RM1,200 untuk satu bahagian itu melibatkan lembu sado dari jenis Charolais.

“Insya-Allah, jika ada rezeki yang lebih saya akan meneruskan usaha ini pada tahun-tahun akan datang,” ujarnya.

Mohd. Johari berharap pada masa akan datang lebih ramai penternak lembu tampil untuk menawarkan harga murah bagi tujuan ibadah korban pada sambutan Hari Raya Aidiladha. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN