PETALING JAYA: Malaysia menyokong apa sahaja cara yang boleh membantu menyelesaikan konflik di Asia Barat bagi menghentikan kekejaman ke atas Palestin dapat di noktahkan segera.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia menyokong usul daripada Amerika Syarikat (AS) untuk menyelesaikan masalah di Gaza melalui tiga fasa.
Jelas beliau, tiga fasa tersebut merangkumi gencatan senjata yang kekal, kemasukan bantuan kemanusiaan dan pembebasan tebusan, pertukaran tahanan warga Palestin, pengunduran penuh tentera Israel serta pembinaan semula Gaza.
“Kita akan menyokong penuh apa saja isu yang dapat menyelesaikan konflik ini dengan segera, isu sekarang pembunuhan ini mesti diberhentikan dahulu. Selepas itu, kita cari jalan.
“Saya berjumpa sendiri dengan Antony Blinken (Setiausaha Negara AS), saya katakan `bola’ sudah ada di dalam gelanggang kamu, ini usul kamu jadi pastikan ia berhasil. Kita nak supaya usul dia diterima dan mereka memastikan usul itu dilaksanakan,” katanya pada Sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohamad menjawab soalan tambahan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) yang meminta kerajaan menyatakan langkah Malaysia dalam membantu menyelesaikan konflik dan kekejaman terhadap Palestin.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, AS perlu memastikan Israel yang merupakan sekutu mereka memenuhi dan mematuhi resolusi yang dibuat oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sementara itu, beliau mengakui, suara rakyat Palestin perlu didengar dalam mencari solusi terbaik untuk mereka.
Bagaimanapun, tegasnya, pembunuhan rakyat Palestin perlu dihentikan dahulu.
“Jika ada satu pihak yang sentiasa membedil, mengebom dan tidak berperikemanusiaan (dengan) membunuh kanak-kanak, wanita (serta) orang tidak berdosa.
“Soal rakyat Palestin nak buat pilihan raya atau tidak, itu soal kedua dan ketiga. Apa kita perlu buat sekarang adalah pembunuhan mesti dihentikan sekarang,” katanya. – UTUSAN









