KOTA BHARU: Pembinaan Empangan Nenggiri yang bermula Mac 2022, sudah mencapai tahap kemajuan hampir 40 peratus dan dijangka siap sepenuhnya mengikut jadual pada pertengahan 2027.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr. Izani Husin berkata, pada masa sama projek berkenaan bakal memasuki proses penakungan yang akan mewujudkan tasik seluas lebih kurang 5,000 hektar.
“Proses penakungan ini akan bermula pada suku keempat 2026,” katanya menjawab soalan Zuraidin Abdullah (Pas – Chetok) pada Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.
Dr. Izani memberitahu, pembinaan empangan itu akan membawa impak sangat besar kepada negeri terutama dalam membekalkan sumber tenaga konsisten dan mencukupi bagi rakyat pada masa hadapan.
Katanya, selain itu ia turut memberi kesan positif kepada sektor pelancongan negeri di sebalik penenggelaman 14 buah gua yang mempunyai aset sangat baik di kawasan itu.
“Kerja-kerja ekskavasi di gua-gua berkenaan telah berlaku dan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan membina sebuah galeri mini di Gua Musang bagi mengumpulkan semua hasil ekskavasi.
“Projek ini boleh menjadi satu tarikan pelancongan kepada Gua Musang sendiri apabila sebuah tasik besar akan diwujudkan seperti Tasik Banding di Gerik, Perak dan Tasik Kenyir di Terengganu,” ujarnya.
Dr. Izani berkata, apabila projek itu siap nanti Gua Musang akan sebagai pusat pelancongan yang akan membawa ledakan ekonomi kepada Kelantan.
Katanya, kerajaan negeri juga sentiasa melaksanakan libat urus dengan masyarakat Orang Asli sepanjang pembinaan Empangan Nenggiri dan mereka akan ditempatkan di sebuah kawasan bersepadu.
“Pihak TNB turut merancang membuat projek solar terapung di kawasan itu selain membantu kita dalam pengurusan bencana banjir melalui pewujudan ‘flood mitigation’, punca air bersih, punca air pertanian dan sebagainya,” katanya. –UTUSAN










