KUALA LUMPUR: Penyerahan Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diteruskan seperti dijadualkan hujung tahun ini, meskipun tanpa sistem peluru berpandu permukaan ke permukaan berikutan pembatalan perolehan misil antikapal (NSM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jadual penyerahan kapal kekal seperti dirancang walaupun terdapat kekurangan pada sistem persenjataan tertentu.
“Daripada segi penyerahan kapal, walaupun kita tidak ada sistem peluru berpandu permukaan ke permukaan, kalau ikut lunas, jadual penyerahan masih seperti yang telah dinyatakan sebelum ini.
“LCS pertama sepatutnya pada Disember 2026 walaupun kita tidak ada sistem peluru berpandu permukaan ke permukaan.
“Tapi saya ingin nyatakan, seperti yang saya nyatakan dalam ucapan saya tadi kapal LCS ini juga mempunyai pelbagai sistem persenjataan yang lain. Kita hanya tidak ada surface to surface missile,” katanya dalam sesi penerangan isu pembatalan lesen eksport NSM.
Mohamed Khaled berkata, LCS masih dilengkapi pelbagai sistem persenjataan lain seperti meriam 57 milimeter (mm).
“Jika kita nak hadapi soal peperangan permukaan. Kita ada senjata terhad, seperti meriam 57mm buat ketika ini. Selain itu, sistem persenjataan yang kita ada adalah untuk peperangan anti kapal selam, maksudnya misil ke kapal selam.
“Kita juga ada peperangan anti udara dan kita juga ada sistem peperangan elektronik untuk ganggu orang lain punya sistem jika ada serangan terhadap kita dan sebagainya.
“Pada masa sama, dalam masa kita tidak ada sistem-sistem peluru berpandu permukaan ke permukaan, kita boleh dapat bantuan daripada TUDM. Kita ada F/A-18D yang ada keupayaan melancarkan misil udara ke permukaan untuk menampung jurang keupayaan peperangan anti permukaan LCS dengan menggunakan Harpoon ataupun Maverick,” katanya.
Beliau berkata, aset baharu melalui Kapal Misi Pesisir (LMS) Batch 2 dijangka tiba sekitar hujung 2027 yang dilengkapi sistem peluru berpandu permukaan ke permukaan dengan jarak sehingga 200 kilometer (km).
“Apabila kapal kedua LMS Batch 2 sampai pada bulan Oktober, November, Disember 2027. Kita ada surface to surface missile 200km jaraknya.
“Jadi kita doa mudah-mudahan dalam masa kita runding untuk mencari alternatif kepada NSM, pada ketika kita nak siapkan LCS 2, 3, 4 kita dah ada sistem baru untuk menggantikan NSM,” katanya. – UTUSAN










