JOHOR BAHRU: Kementerian Kesihatan (KKM) kini sedang giat melaksanakan transformasi sistem kesihatan negara melalui pemerkasaan perkhidmatan penjagaan kesihatan primer dan peluasan perkhidmatan kesihatan digital.
Timbalan Menterinya, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, langkah itu melibatkan penambahbaikan pencegahan penyakit serta penggunaan teknologi dan data bersepadu bagi memastikan akses kesihatan berkualiti dapat dinikmati oleh semua komuniti, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Bagaimanapun, katanya, teknologi semata-mata bukanlah jalan penyelesaian mutlak kepada jurang kesihatan awam, sebaliknya hanyalah satu instrumen atau alat bantuan.
“Realiti semasa menunjukkan kemajuan sektor kesihatan belum dinikmati secara saksama, khususnya apabila melibatkan komuniti di kawasan pedalaman yang terpaksa menempuh perjalanan jauh demi mendapatkan rawatan asas.
“Apabila kita berbicara tentang jurang dalam kesihatan awam, kita sebenarnya berbicara tentang kelangsungan kehidupan manusia yang sebenar. Kedudukan demografik mahupun taraf pendapatan seseorang tidak wajar menjadi penentu kepada tahap kualiti kesihatan mereka.
“Teknologi hanyalah satu alat pemangkin, oleh itu, inovasi mestilah responsif terhadap keperluan komuniti agar jurang (akses perubatan) sedia ada tidak menjadi semakin melebar,” katanya ketika merasmikan Persidangan Kesihatan Awam Asia-Pasifik (APCPH) Ke-9 Tahun 2026 yang bertemakan ‘Merapatkan Jurang Kesihatan Awam melalui Teknologi, Perkongsian & Komuniti’ di sebuah Hotel Doubletree, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hanifah Hajar berkata, transformasi sistem penjagaan kesihatan negara juga melibatkan pengukuhan penjagaan primer menerusi Sistem Pengurusan Penjagaan Klinik (CCMS) yang mendigitalkan rekod pesakit di klinik kerajaan.
Bagaimanapun, katanya, cabaran kesihatan awam masa kini adalah terlalu kompleks dan tidak lagi mampu diselesaikan secara bersendirian atau ‘silo’ oleh satu-satu pihak sahaja.
“Sehubungan itu, semua sektor mengamalkan pendekatan One Health yang merangkumi kerjasama merentas agensi termasuk pendidikan, perumahan, alam sekitar, serta sistem pemakanan.
“Kesihatan manusia berkait rapat dengan kesihatan global, gangguan ekosistem dan kemerosotan biodiversiti secara langsung mengancam kualiti udara serta keselamatan sumber air kita.
“Justeru, solidariti serantau amat diperlukan. Apabila kerajaan, penyelidik, profesional kesihatan dan pihak industri bergabung tenaga, kita mampu mencipta pertahanan serantau yang lebih utuh dalam mendepani sebarang kecemasan kesihatan global pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN










