KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar wanita meninggal dunia selepas 18 jam bertarung nyawa di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) susulan kemalangan di hadapan hospital tersebut, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, mangsa, Umie Elysha Lyana Basharuddin, 22, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 10.38 pagi tadi.
Beliau berkata, mangsa yang merupakan pelajar di sebuah universiti di Kuala Nerus sebelum itu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) setelah bertembung dengan sebuah ambulans sekitar 4.30 petang semalam.
“Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss bergerak dari arah Bulatan Kampung Ladang menghala ke rumahnya di Kampung Padang Machang dekat Manir.
“Setibanya di tempat kejadian iaitu di lampu isyarat hadapan HSNZ, sebuah ambulans tiba-tiba datang dari arah bertentangan dan membelok ke kanan untuk masuk ke hospital berkenaan.
“Kejadian menyebabkan mangsa bertembung dengan ambulans dan mengalami kecederaan sebelum terus dibawa ke HSNZ untuk dirawat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pemandu ambulans iaitu lelaki berusia 52 tahun terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Azli menjelaskan, pihak polis kemudian menerima maklumat dari waris mangsa memaklumkan Umie Elysha Lyana telah meninggal dunia selepas bertarung nyawa selama 18 jam.
“Punca kematian disebabian kecederaan serius di bahagian kepada dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” tambahnya. – UTUSAN










