Peguam berputih mata pelaburan kripto  'kakaue' RM1.3j lesap

Peguam berputih mata pelaburan kripto  ‘kakaue’ RM1.3j lesap

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dalam sidang akhbar hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang peguam berputih mata apabila  wang  RM1.3 juta miliknya  lesap selepas menyertai skim pelaburan kripto tidak wujud dikenali ‘kakaue’ 

Mangsa iaitu seorang lelaki berusia  57 tahun menyedari ditipu skim pelaburan berkenaan selepas wang pelaburannya itu tidak boleh dikeluarkan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa tertarik dengan  pelaburan kakaue setelah melihat iklan di Facebook pada Disember tahun lalu.

Menurut  beliau, mangsa kemudian dihubungi melalui WhatsApp oleh beberapa  individu yang mendakwa sebagai wakil dari Syarikat Kakaue Exchange.

“Sebaik mendaftar melalui laman sesawang www.kakauesr.com, mangsa terus  membuat pindahan wang secara berperingkat ke 14 akaun syarikat dengan nilai keseluruhan RM1,339,918.

“Melalui platform pelaburan tersebut, mangsa dapat melihat wang pelaburannya menjana keuntungan, namun apabila ingin mengeluarkan keuntungan yang diperoleh, pelbagai alasan  diberikan oleh pihak sindiket,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mangsa berasa curiga apabila mendapati tiga mata wang kripto yang  dibelinya melalui platform tersebut tidak ditawarkan oleh mana-mana  exchanger mata wang kripto yang lain.

Kata beliau, sebanyak lapan kes penipuan pelaburan kripto ditawarkan ‘kakaue’ diterima polis membabitkan kerugian mencecah RM3.5 juta setakat ini.

“Sebanyak 22 akaun bank atas nama pelbagai syarikat dan perniagaan sedang disiasat kerana dipercayai digunakan sebagai keldai akaun oleh sindiket kakaue.

Justeru, kata Ramli,orang ramai yang berminat untuk membuat pelaburan mata wang kripto dinasihatkan untuk merujuk kepada pihak  Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk pandangan dan nasihat. 

“Adalah penting untuk membuat pelaburan melalui syarikat atau exchanger yang diluluskan agar wang yang dilaburkan terjamin serta dilindungi oleh undang-undang. Jangan membuat pelaburan secara membuta tuli,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN