Tan Sri antara ditahan, disyaki terlibat skim pelaburan haram

Tan Sri antara ditahan, disyaki terlibat skim pelaburan haram

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Muhammad Hasbullah Ali menunjukkan carta organisasi suspek pada sidang akhbar berkenaan tangkapan dan rampasan kes Op Northern Star di Menara KPJ di sini hari ini. -UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kuala Lumpur: Seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri antara tiga lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terbabit dalam skim pelaburan haram membabitkan MBI International Group (MBI).

Setakat ini, jumlah keseluruhan pembekuan dan rampasan aset membabitkan sindiket berkenaan mencecah RM3.81 bilion menerusi 17 tangkapan sejak operasi dilancarkan.

Menurut Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, tangkapan terhadap suspek berusia 46, 54 dan 58 tahun dilakukan antara 1 hingga 17 Mei lalu.

Katanya, ketiga-tiga mereka ditahan dalam siri operasi khas Op Northern Star di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, hasil siasatan terhadap rangkaian sindiket skim Ponzi berkenaan.

“Mereka dipercayai berperanan sebagai proksi mencuci wang sindiket, termasuk menjalankan perniagaan bagi menyamarkan sumber dana haram,” katanya ketika sidang akhbar JSJK di Menara KPJ di sini hari ini.

Pasukan Agensi Penguatkuasaan Anti Pengubahan Wang Haram (AMLA) Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara, Bukit Aman, telah menjalankan tangkapan lanjutan terhadap tiga lagi individu berhubung kes Op Northern Star berdasarkan maklumat baru hasil siasatan.

“Antara yang ditahan adalah seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri dan kesemua suspek direman lima hingga sembilan hari untuk membantu siasatan lanjut berhubung sindiket ini.

“Melalui tangkapan tersebut, pasukan AMLA berjaya melaksanakan pembekuan dan penyitaan tambahan aset di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Akta 613).

“Antara aset yang dibekukan termasuk empat kapal layar dan tiga bot penumpang bernilai RM36.3 juta, 477 hartanah bernilai RM150 juta serta empat unit kondominium bernilai RM12 juta,” ujarnya.

Muhammed Hasbullah berkata, wang dalam 37 akaun bank berjumlah RM328 juta turut dibekukan, bersama wang tunai RM283,070, tiga kenderaan mewah bernilai RM637,100, dua jam tangan mewah dan lima telefon bimbit disita.

Pasukan AMLA juga menyita lima buah perniagaan di bawah Seksyen 52(1) Akta 613 yang terdiri daripada syarikat pengurusan ladang durian, pemaju dan hotel, menjadikan jumlah penyitaan perniagaan kini lapan buah syarikat.

Sehingga kini, jumlah keseluruhan pembekuan dan penyitaan dianggarkan sebanyak RM527 juta bagi aset dan harta yang dipercayai hasil perolehan haram sindiket MBI, dengan jumlah keseluruhan rampasan RM3.81 bilion.

Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan menjauhi sebarang aktiviti yang mencurigakan serta memberi kerjasama dalam usaha membanteras pengubahan wang haram di Malaysia.

Pada 11 April lepas Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata pihaknya menahan lapan individu dan merampas aset bernilai RM3.17 bilion dipercayai berkait rapat dengan skim penipuan berkenaan.

Katanya tangkapan berkenaan melalui tindakan rentas negara yang dilaksanakan hasil maklumat Notis Merah daripada Interpol.

Pada 22 April lepas pula Muhammed Hasbullah dilaporkan berkata beberapa lagi individu termasuk seorang usahawan bergelar ‘Tan Sri’ dan ‘Datuk Seri’ yang dipercayai menjadi proksi serta rakan perniagaan dalam skim penipuan pelaburan itu ditahan di sekitar Lembah Klang dan di utara tanah air pada 18 hingga 21 April dan membeku aset dan harta bernilai RM3.51 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN