PDRM diminta sambung, lengkapkan siasatan, ambil kira laporan Suhakam

PDRM diminta sambung, lengkapkan siasatan, ambil kira laporan Suhakam

Saifuddin Nasution Ismail
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta untuk menyambung semula siasatan berkait kes rusuhan di Penjara Taiping, Perak pada tahun lalu, dengan mengambil kira laporan yang dikeluarkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung kes itu pada bulan lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan tidak menyembunyikan apa-apa jika berlaku sebarang salah laku melibatkan pihak berkuasa dalam kes rusuhan yang menyebabkan kematian seorang tahanan warga emas itu.

“Selepas melalui proses siasatan, tidak kira oleh mana-mana badan, dengan ditampilkan bukti meyakinkan dan saksi ditemubual sebelum dikeluarkan satu laporan, jika memerlukan susulan siasatan, contohnya oleh pasukan polis, prinsip kita jelas iaitu yang benar itu benar yang salah itu salah dan tidak akan dipertahankan.

“Saya percaya Ketua Polis Negara (Tan Sri Mohd Khalid Ismail) akan menyambung atau melengkapkan apa-apa siasatan dengan mengambil kira juga penemuan Suhakam kerana betul, berkata benar itu pahit tapi kesan jangka panjangnya itu adalah jauh lebih baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Pada 25 Mei lalu, media melaporkan, Suhakam mengesyorkan Penjara Taiping yang dibina sejak 1879 dijadikan muzium selepas institusi itu didapati tidak lagi sesuai digunakan sebagai penjara.

Syor itu antara keputusan Panel Inkuiri Awam Suhakam berhubung rusuhan di Penjara Taiping pada 17 Januari 2025 yang membawa kepada kematian tahanan warga emas, Gan Chin Eng, 61. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN