Pegawai perubatan bebas tuduhan cabul, kelucahan melampau terhadap pesakit

Pegawai perubatan bebas tuduhan cabul, kelucahan melampau terhadap pesakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Seorang pegawai perubatan dilepas dan dibebaskan daripada sabitan dan hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan mencabul dan melakukan kelucahan melampau terhadap seorang pesakit wanita yang diperiksanya kerana masalah kegatalan kulit, lima tahun lalu.

Mahkamah Tinggi Temerloh, Pahang memutuskan demikian terhadap lelaki berusia 36 tahun itu selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret Jerantut yang mensabit dan menghukumnya bagi kedua-dua pertuduhan.

Pertuduhan pertama, pegawai perubatan itu didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang ketika itu berusia 20 tahun dengan niat untuk mengaibkannya manakala pertuduhan kedua melakukan kelucahan melampau terhadap gadis yang sama. 

Kedua-dua perbuatan didakwa dilakukan kira-kira pukul 3.20 petang, 6 September 2019 di bilik rawatan  sebuah klinik kesihatan di Jerantut.

Tuduhan pertama, Majistret Muhammad Najib Ismail menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun manakala pertuduhan kedua, hukuman penjara 18 bulan bermula dari tarikh keputusan pada 9 Jun 2023.  Kedua-dua hukuman berkuat kuasa serentak.

Mahkamah Tinggi membenarkan rayuannya setelah berpuas hati, sabitan itu tidak selamat untuk dikekalkan kerana keterangan mangsa tidak disokong oleh keterangan saksi lain yang boleh mengesahkan fakta sebenar yang berlaku di antara pegawai perubatan itu dan pesakitnya.

Hakim Roslan Mat Nor berpendirian, keterangan saksi-saksi lain adalah berpunca daripada keterangan mangsa, bukannya daripada keterangan bebas.

Ujar hakim berkenaan, naratif kejadian yang melibatkan mangsa dan pegawai perubatan yang memeriksanya tidak meyakinkan untuk dijadikan asas terhadap sabitan di bawah kedua-dua pertuduhan.

Perayu dalam pembelaannya menyatakan tidak mengingati pernah merawat mangsa kerana tiada kad rawatannya dikemukakan serta menafikan setiap perlakuan yang didakwa termasuk menggunakan kondom untuk merawat pesakitnya.

Hakim Roslan selanjutnya berpendapat, majistret berkenaan gagal mengambil kira keterangan berhubung tempat kejadian dan kewujudan individu-individu lain di situ serta kewajaran ia berlaku berdasarkan keadaan ketika itu.

“Apa yang lebih menarik dalam kes ini ialah tiada keterangan daripada pegawai perubatan yang menyelia perayu untuk mengesahkan prosedur rawatan apabila ia melibatkan pesakit wanita dan pegawai perubatan lelaki.

“Tiada keterangan mengenai prosedur klinikal dan tatacara rawatan yang sepatutnya diberikan perayu kepada mangsa bagi menyokong dakwaan bahawa tindakan yang dikatakan dilakukan itu melampaui batas prosedur rawatan.

“Ketiadaan keterangan itu menyebabkan mahkamah ini tidak boleh membuat kesimpulan bahawa tindakan perayu terhadap mangsa dikategorikan sebagai  melampaui prosedur rawatan dan prosedur klinikal yang membolehkannya didakwa atas pertuduhan tersebut,” ujar beliau.

Hakim Roslan selanjutnya berpandangan, kesalahan seksual yang dilakukan oleh seorang pegawai perubatan terhadap pesakitnya adalah suatu yang tidak boleh diterima oleh masyarakat kerana selaku pihak yang diberi amanah memberikan rawatan, sebaliknya mengambil kesempatan terhadap mangsa.

Beliau berpendirian, tindakan itu akan menjejaskan kerjaya pegawai perubatan dan menghakis kepercayaan masyarakat. 

“Namun dalam kes ini, mahkamah berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui tahap keraguan munasabah dan ini mewajarkan saya campur tangan terhadap keputusan majistret berkenaan.

“Jenayah seksual yang dilakukan oleh pihak yang diberi amanah memerlukan penyiasatan mendalam dan rapi bagi membolehkan keterangan yang sewajarnya dikemukakan kepada mahkamah.

“Oleh itu, kesungguhan serta kecekapan agensi-agensi penguatkuasa amat diperlukan bagi mengemaskini siasatan agar keterangan yang sewajarnya dapat dikemukakan melalui saksi-saksi semasa pengendalian perbicaraan.

“Dalam kes yang melibatkan tuduhan seksual, mahkamah perlu mempertimbang dan memperhalusi keterangan-keterangan saksi-saksi dan tidak terbawa-bawa dengan emosi yang tidak berdasarkan kepada keterangan,” ujar beliau dalam alasan penghakiman bertarikh 29 Mei lalu yang diperoleh pihak media melalui laman web mahkamah, hari ini. –UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN