[PARLIMEN] Warga asing salah guna pas imigresen dipantau

[PARLIMEN] Warga asing salah guna pas imigresen dipantau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengambil langkah tambahan bagi memastikan warga asing tidak menyalahgunakan pas imigresen untuk kepentingan peribadi termasuk berkahwin dengan warganegara Malaysia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beberapa pendekatan diambil antaranya melaksanakan pemantauan  melalui naziran, mengadakan temu duga dengan pasangan yang berkenaan serta mengenakan wang cagaran kepada penaja.

Menurut beliau, JIM melaksanakan Ops Belanja dan Ops Jaja bagi mengatasi isu permasalahan warga asing yang menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lessen atau bekerja secara tidak sah.

“Ops Belanja menyasarkan premis-premis antaranya seperti pasar mini atau pasar raya, kedai runcit dan kedai perabot.

“Bagi tempoh 1 Januari 2023 sehingga 12 Jun lalu, seramai 2,098 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditangkap atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 melalui pelaksanaan Ops Belanja.

“Antara kesalahan-kesalahan yang direkodkan adalah tiada dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa, salah guna pas dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI). Bagi tempoh yang sama, 499 orang PATI telah ditangkap semasa Ops Jaja yang menumpukan kawasan-kawasan seperti pasar malam, pasar tani, pasar borong dan gerai-gerai jalanan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat bagi menjawab persoalan ditimbulkan Riduan Rubin (Bebas-Tenom) yang memintanya menyatakan tindakan bersepadu dari aspek perundangan bagi menghapuskan penguasaan warga asing di dalam rantaian perbekalan sayur-sayuran meliputi aspek penanaman, logistik, perbekalan dan penjualan kerana dikhuatiri ianya akan membentuk kartel yang akan mengawal harga sayur-sayuran di pasaran.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata, isu warga asing yang menjalankan perniagaan di kawasan tumpuan awam sentiasa dipantau oleh kerajaan melalui kerjasama strategik antara kementerian dan agensi.

“Selaras dengan Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), kelulusan sewaan tapak pasar awam dan pengeluaran lesen hanya diberikan kepada warganegara Malaysia. Bagi penyewa tapak pasar yang menyewakan tapak kepada warga asing,

“PBT tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas dengan menarik semula sewaan tapak serta lesen perniagaan dibatalkan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN