KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak sesekali berkompromi mengenai aspek keselamatan dalam melaksanakan Pelan Liberalisasi Visa (PLV).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Malaysia mahu pelancong masuk ke dalam negara untuk membantu industri.
Bagaimanapun, menurut beliau, kerajaan akan mengambil langkah ketat kemasukan warga asing ke dalam negara termasuk mewajibkan mereka mengisi Malaysia Digital Arrival Card supaya maklumat pengembara diketahui dengan lebih jelas.
“Dari situ kita (akan) tahu dia (warga asing) tinggal di mana, alamatnya di mana dan jika berlaku terlebih tinggal kita akan segera mencari dia ditempat itu.
“Kita ketatkan kawalan pintu masuk. Kita juga mengenal pasti 224 lokasi hotspot warga asing,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Saifuddin Nasution berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) berhubung jaminan pelaksanaan Pelan Liberalisasi Visa (PLV) tidak menggugat keselamatan rakyat dan negara sedangkan peningkatan pekerja asing tanpa dokumen mencecah 6 juta orang pada tahun 2022 (Kajian KRI oleh Nixon), termasuk menyalahgunakan kemudahan itu untuk tinggal lebih lama di Malaysia.
Dalam pada itu, ketika menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) mengenai peningkatan kemasukan pelancong asing susulan pelaksanaan PLV, Saifuddin Nasution berkata, dari 1 Januari 2023 sehingga April lalu, jumlah pelancong yang masuk ke dalam negara direkodkan oleh Jabatan Imigresen (JIM) adalah 40 juta.
“Daripada situ, 30 juta masuk melalui Johor dan Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Apabila kita longgarkan, pelancong China dan India boleh masuk dengan visa kelonggaran 30 hari. Pelancong China memasuki sehingga 15 Jun seramai 950,000 manakala India 443,000,” jelasnya.- UTUSAN









