GEORGE TOWN : Bekalan ternakan untuk ibadah korban di Pulau Pinang dijangka mencukupi dengan hampir 6,000 ekor ternakan ruminan tersedia.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang, Dr. Saira Banu Mohamed Rejab berkata, daripada jumlah ternakan tersebut, 80 peratus adalah ternakan lembu.
Dr. Saira Banu berkata, secara keseluruhannya juga, sebanyak 1,732 permit sembelihan luar melibatkan 5,756 ekor ternakan telah dikeluarkan bagi ibadah korban pada tahun ini.
Katanya, jumlah itu mencatatkan peningkatan luar jangkaan memandangkan pada tahun lalu, sebanyak 714 permit sembelihan luar melibatkan 3,002 ekor ternakan sahaja yang dikeluarkan.
“Peningkatan ini berlaku disebabkan oleh kesedaran pemain industri dan kempen yang telah dijalankan oleh pihak JPV negeri,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Saira Banu berkata, kebiasaannya, semua urusan penyembelihan perlu dilaksanakan di dalam rumah penyembelihan yang dilulus dan dilesenkan di bawah Akta Rumah Penyembelihan (Penswastaan) 1993.
“Oleh kerana terdapat permintaan dan peningkatan jumlah penyembelihan bersempena Hari Raya Aidiladha, maka, dengan merujuk kepada Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009, penyembelihan bagi tujuan korban boleh dilaksanakan di luar rumah penyembelihan diluluskan atau rumah penyembelihan dilesenkan.
“Bagaimanapun, tempat yang dipilih itu perlulah bersesuaian, tidak menyebabkan pencemaran dan kacau ganggu kepada orang awam,” ujar beliau.
Tambahnya, penyembelihan luar ini hanya dibenarkan selama empat hari iaitu pada Hari Raya Aidiladha dan Hari Tasyrik bermula pada 17 Jun (Isnin) sehingga 20 Jun (Khamis).
Dalam pada itu, Dr. Saira Banu berkata, JPV Pulau Pinang juga menasihatkan semua umat Islam agar lebih berhati-hati semasa memilih haiwan ternakan dalam melaksanakan ibadah korban bagi mengelak daripada sumber yang tidak pasti.
“Seramai 39 pihak berkuasa veterinar dan 15 pegawai penguatkuasa telah ditugaskan untuk menjalankan pemantauan serta pemeriksaan ternakan di lokasi sembelihan bagi memastikan ternakan bebas daripada sebarang penyakit.
“Dalam hal ini juga, semua aktiviti pemindahan ternakan dan aktiviti penyembelihan perlu mendapatkan Akuan Kebenaran Pindah (AKP) dan Permit Sembelihan Luar (PSL) yang boleh dipohon daripada Pejabat Veterinar Daerah yang berdekatan,” katanya.-UTUSAN










