Ops Kesan 2.0: KPDN Pulau Pinang keluar 20 notis

Ops Kesan 2.0: KPDN Pulau Pinang keluar 20 notis

S. JEGAN (tengah) ketika memeriksa beberapa gerai jualan sempena Ops Kesan 2.0 di Pasar Ban Busuk, Penanti, Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang telah mengeluarkan 20 notis bertulis susulan pemeriksaan terhadap 42 premis menerusi pelaksanaan Ops Kesan 2.0 sehingga 15 Jun lalu.

Pengarahnya, S. Jegan berkata, operasi penguatkuasaan itu dibuat bertujuan memastikan tiada elemen pencatutan terhadap harga barang dan perkhidmatan dengan menggunakan alasan pelarasan harga runcit diesel di semua stesen minyak.

Beliau berkata, dalam hal ini, pihaknya bersedia mengambil tindakan terhadap sebarang aduan kenaikan harga pada kadar yang tidak munasabah terutama kepada mereka yang telah mendapat manfaat daripada penyasaran subsidi diesel serta peniaga yang sememangnya tidak layak menerima subsidi tersebut sebelum pelaksanaannya.

“Kita (KPDN Pulau Pinang) sentiasa membuat pemantauan dengan penguatkuasaan sepenuhnya berpandukan kepada Peraturan-Peraturan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Jegan mengetuai pemeriksaan bagi memantau penandaan tanda harga, alat timbang dan sukat serta lain-lain akta yang berkaitan susulan pengumuman penyasaran subsidi diesel khususnya menjelang Aidiladha esok di Pasar Pagi Ban Busuk, Penanti di sini.

Menurut beliau, sebanyak 31 premis telah diperiksa dan pihaknya mendapati, bekalan asas seperti minyak masak dan telur ayam yang dijual tidak melebihi harga kawalan.

“Kita telah menjalankan pemeriksaan bagi memantau penandaan tanda harga, alat timbang dan sukat serta lain-lain akta yang berkaitan.

“Setakat ini, tiada sebarang kenaikan harga barang dilaporkan, tanda harga ada dipamerkan dengan jelas serta alat timbang dan sukat juga masih dalam tempoh sah,” katanya yang memberitahu, pemeriksaan terhadap bekalan asas bagaimanapun didapati mencukupi bagi menampung permintaan pengguna setempat ketika ini.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN