KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 22 ekor lembu hasil sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Persatuan Keluarga Polis (Perkep) untuk diagihkan kepada mereka yang layak hari ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, beliau mewakili Ketua Polis Negara dan sekalian warga PDRM merakamkan setinggi tinggi penghargaan atas sumbangan 22 ekor lembu kepada PDRM untuk diagih-agihkan kepada mereka memerlukan.
Menurutnya, diharapkan sumbangan itu dapat memberi keceriaan kepada penerima.
“Selain itu, program ini juga dapat memupuk semangat perpaduan dan kerjasama menerusi aktiviti gotong-royong yang dijalankan.
“Program sebegini pastinya sukar dan tidak setanding dengan kisah kepatuhan Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail kepada Allah SWT,” katanya pada Majlis Korban Perdana sempena Hari Raya Aidiladha di Masjid Al-Amin Briged Tengah PGA di Cheras di sini, hari ini.
Dalam konteks PDRM, beliau menyeru warganya mencontohi pengorbanan itu dengan menterjemahkannya kepada khidmat bakti, kesetiaan dan pengorbanan kepada nusa dan bangsa demi melihat keamanan negara dan kesejahteraan masyarakat kekal berpanjangan.
“Hikmah pengorbanan daripada ibadah ini dapat dilihat dari sudut kesudian berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan,” jelasnya.
Kesemua 22 ekor lembu disumbangkan Persatuan Bekas UTK Malaysia, Perkasih, MyFundAction serta Perkep kepada PDRM.
Pada majlis sama Ayob Khan turut menyampaikan sumbangan kepada beberapa wakil masyarakat antaranya golongan fakir miskin dan warga PDRM. – UTUSAN








