PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin mendakwa pelarasan subsidi diesel yang baru dilaksanakan dalam berapa hari ini menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan ‘melambung’.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, keadaan tersebut menunjukkan perbezaan daripada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkata penyelarasan bahan api itu hanya beri kesan pada golongan kaya dan warga asing.
Ini kerana, kata beliau, pelarasan subsidi diesel turut menyebabkan rakyat terjejas kerana perkara tersebut mengakibatkan berlakunya peningkatan harga barang dan perkhidmatan.
“Tidak sampai beberapa hari subsidi diesel ditarik balik, kita lihat syarikat penunda kenderaan menaikkan harga perkhidmatan mereka. Adakah golongan maha kaya saja yang kenderaan mereka rosak di tengah jalan? Kereta orang miskin tak rosak?
“Pengeluar konkrit juga menaikkan harga konkrit. Sudah pasti harga rumah akan meningkat selepas ini. Adakah golongan maha kaya saja yang beli rumah? Orang lain tak beli rumah?
“Saya tengok harga sayur-sayuran seperti timun, cili, sawi juga naik. Adakah golongan maha kaya saja makan sayur. Orang miskin tak makan sayur? Cakap dia kita tak boleh percaya” katanya melalui satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, dengan mekanisme bantuan bersasar yang tersedia, kerajaan kini sudah bersedia melaraskan harga diesel bagi semua negeri di Semenanjung Malaysia.
Menurutnya, harga diesel di semua stesen runcit petrol di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Automatic Pricing Mechanism (APM).
Sebelum ini, media melaporkan, pemilik pernigaan sudah mula menaikan harga barangan mereka selepas kerajaan mengumumkan pembatalan subsidi pukal diesel. – UTUSAN









