PETALING JAYA: Malaysia dan China melanjutkan perjanjian Pembanterasan Jenayah Rentas Sempadan (JWG) kelima (JWG) dengan menyenaraikan lebih 15 bidang kerjasama antara kedua-dua negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pemeteraian pelanjutan perjanjian JWG itu berkuat kuasa sehingga 2034.
Menurutnya, perjanjian itu merupakan dokumen induk yang menyenaraikan lebih 15 bidang kerjasama antara kedua-dua negara seperti pencegahan aktiviti keganasan dan ekstremisme, perjudian haram, jenayah siber, penyeludupan manusia serta bahan terlarang selain jenayah ke atas alam sekitar.
“Kedua-dua negara turut berkomitmen untuk menerokai dan menerajui kerjasama ASEAN, China dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dalam bidang keselamatan, ekonomi dan sosial sesuai dengan tiga tonggak utama ASEAN.
“Malaysia dan China juga menyatakan persefahaman untuk mendalami secara saintifik cadangan Kerangka Keselamatan Nasional yang diunjurkan bagi memberi kelebihan bukan hanya kepada kedua-dua negara malah memanfaatkan negara serantau dan global.
“Kesepakatan untuk bersegera memuktamadkan beberapa dokumen perjanjian dan kerjasama baharu antara kedua-dua negara seperti perihal keimigresenan serta ekstradisi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, beliau mengetuai delegasi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam lawatan kerja di China bermula 5 hingga 10 Jun ini. – UTUSAN










